Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 3, 2015

'SEBAK JAWAB PERIKSA, TERINGAT MAK AYAH'


'Sebak jawab periksa, teringat mak ayah’


Tumpat - “Saya sebak ketika jawab periksa kertas Bahasa Melayu, saya teringat pada mak dan ayah,” kata Muhammad Firdaus Mohd Sobri, 17, calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menjadi yatim piatu sekelip mata sehari sebelum SPM bermula.

Muhamad Firdaus adalah anak sulung Mohd Sabri A Rahman, 51, yang maut bersama isteri dan anak bongsunya dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai berdekatan Bukit Belah, Machang, tiga hari lalu.

Muhamad Firdaus berkata, dia cuba melawan perasaan sedih itu ketika melangkah masuk ke dalam dewan peperiksaan pada hari pertama tetapi ia tetap mengganggu emosinya.

“Entahlah tiba-tiba wajah ayah, wajah mak hadir. Mujurlah perasaan sebak itu sekejap saja dan saya terus menjawab kertas peperiksaan hingga habis,” katanya.

Muhamad Firdaus tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat, dijemput guru di rumahnya di Kampung Chenderung, Teluk Jering.

Menurutnya, rutin paginya sudah berubah apabila tidak dapat lagi mencium kedua tangan ibu bapanya sebelum turun ke sekolah kerana mereka telah pergi buat selama-lamanya.
Namun katanya, dia bersyukur masih ada nenek, Rubiah Ya, 58, yang kini mengambil tugas menjaganya selepas ketiadaan ibu bapa.

“Saya cium tangan nenek tadi minta restu, tangan bapa saudara. Mereka tak putus-putus beri semangat untuk saya agar jawab periksa molek, kata semangat mereka seperti kata-kata arwah ayah saya sebelum dia meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, guru di sekolah turut memberi semangat kepadanya sebelum dia masuk ke dalam dewan peperiksaan dan kata-kata semangat daripada mereka dijadikan azimat buatnya.

“Terima kasih cikgu, saudara-mara dan kawan-kawan, wakil rakyat yang tidak putus-putus mendoakan saya, memberi semangat untuk saya meneruskan kehidupan ini tanpa orang tersayang,” katanya.

Tiga beranak yang maut itu, Mohd Sabri yang juga Penolong Pegawai Penguat kuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORIM), isterinya, Hilwani Hassan 36 dan anak bongsunya, Nurul Athirah, 13, terlibat dalam kemalangan di Kilometer 37, Jalan Kota Bharu- Kuala Krai berdekatan Bukit Belah, Machang, Sabtu lalu.

Mereka menaiki kenderaan pelbagai guna, Toyota Avanza ke Kuala Krai untuk menghadiri kenduri rakan Mohd Sabri, bagaimanapun dalam perjalanan pulang kira-kira jam 2.15 petang, mereka terlibat dalam kemalangan ngeri apabila bertembung dengan sebuah kren.

Kemalangan itu menyebabkan Muhamad Firdaus, anak sulung mereka menjadi yatim piatu sekelip mata.

0 comments:

share2