Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, November 20, 2015

RATUSAN IKAN BELANAK MATI


Ratusan ikan belanak mati


Pontian - Ratusan ikan belanak mati dan timbul di permukaan air sekitar Pengkalan Tanjung Piai sehingga ke kawasan tali air, menggemparkan penduduk setempat.

Kejadian yang disedari nelayan awal pagi semalam itu, mencetuskan kebimbangan berlakunya pencemaran air di kawasan perairan Tanjung Piai yang menjadi laluan utama kapal dagang ke pelabuhan.

Wakil nelayan, Yaacob Mohd Said, 61, berkata, nelayan dan penduduk kampung di kawasan berkenaan hairan kerana hanya spesies ikan belanak sahaja yang mati.

“Ini kejadian pertama ratusan ikan mati di sini. Kami tidak pasti apa puncanya dan mengapa hanya ikan belanak sahaja mati. Namun, kami percaya ia disebabkan pencemaran air laut,” katanya.

Jelasnya, nelayan dan penduduk tidak berani menyentuh ikan belanak yang mati itu kerana bimbang jika ia mempunyai sisa toksik.

“Kami tidak menyentuhnya, kerana takut jika ia masih beracun. Kami tidak mahu ambil risiko dan biarkan sahaja ikan-ikan yang mati itu tanpa mengutipnya,” katanya.

Menurutnya, aduan mengenai kejadian itu telah dibuat di Jabatan Perikanan daerah.

“Kami mahu siasatan dilakukan bagi menentukan punca kejadian. Sekiranya ia berpunca daripada pencemaran air, tindakan segera perlu dilakukan bagi mengelak masalah pencemaran yang lebih besar berlaku di sini” katanya.

Abdul Wahab Mohd, 56, menyifatkan kejadian itu sebagai fenomena luar biasa.

“Kami bimbang jika berlaku kejadian seumpama ini pada masa hadapan. Perlu ada tindakan untuk mengatasi masalah pencemaran air di sini,” katanya.


0 comments:

share2