Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 3, 2015

PELAJAR TIADA MASALAH BERPOLITIK, TAPI...


Khairy Jamaluddin



Kuala Lumpur - Kerajaan tidak mempunyai masalah bagi golongan mahasiswa untuk berpolitik selagi mereka tidak melanggar undang-undang atau peraturan universiti masing-masing.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pada 2012 agar mahasiswa diberi lebih kebebasan untuk berpolitik sudah cukup membuktikan keterbukaan kerajaan terhadap mereka.

"Seksyen 15 AUKU kini berbeza dengan seksyen lepas (sebelum pindaan), dulu mahasiswa tidak dibenarkan langsung sertai parti politik atau tunjukkan sokongan, tetapi kini sudah boleh.

"Sekiranya ada tindakan terhadap mahasiswa, ia sudah pasti sebab mereka melanggar undang-undang lain, atau peraturan universiti lain, dan tak ada kaitan dengan niat mereka untuk berpolitik," katanya menjawab soalan Datuk Takiyuddin Hassan (Pas-Kota Bharu) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Takiyuddin ingin tahu mengapa beberapa tindakan diambil ke atas segelintir mahasiswa yang berpolitik, sedangkan kerajaan, melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengambil dasar untuk memberi lebih peluang kepada golongan muda sebagai pelapis pemimpin masa hadapan. 

Menjawab soalan Takiyuddin sama ada KBS bercadang untuk mengehadkan umur pemimpin di peringkat sayap pemuda parti politik iaitu tidak melebihi 30 tahun, selari dengan Dasar Belia Belia Malaysia yang baharu, Khairy berkata, kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Beliau berkata ini kerana semua pertubuhan politik terletak di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan bukannya Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY). 

Namun, katanya, terpulang kepada kepimpinan parti masing-masing untuk berbuat demikian kerana prinsip asasnya ialah untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkaliber di masa akan datang.

Terdahulu, menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang), Khairy berkata, kementerian menetapkan sehingga 2018 sebelum akta berkaitan takrifan baharu umur belia dilaksanakan bagi memastikan kesiapsiagaan pertubuhan dan persatuan belia.

"Kita hanya akan bincang soal pindaan kepada akta berkaitan selepas peralihan kepimpinan selesai, kalau pinda dulu kemudian nak cari pemimpin muda, saya risau nanti pertubuhan ini akan alami masalah besar," katanya.

Anuar ingin tahu tahap persediaan serta langkah-langkah yang diambil dalam proses perubahan takrifan umur belia yang akan dikurangkan kepada 30 tahun menjelang pelaksanaannya pada tahun 2018.

0 comments:

share2