Penggunaan sistem siren amaran banjir yang lebih terkini dan diperbaharui sehingga ke paras lima meter tinggi dijangka dapat membantu penduduk untuk lebih peka dengan kenaikan air sekali gus bersedia untuk bertindak lebih awal.
Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Kuantan, Sumiliana Sulung berkata, penggunaan sistem siren baharu yang diperkenalkan ini merupakan pertama digunakan di Pahang.
“Menjadi tanggungjawab kami untuk memantau keadaan air sungai terutama ketika musim hujan dan kali ini, sebagai salah satu inisiatif baharu dengan peruntukan yang ada kami menaik taraf siren amaran banjir berharga kira-kira RM80,000 dan ditempatkan di Kampung Tiram, di sini.
“Kali ini siren amaran banjir yang digunakan merupakan kombinasi lengkap sensor paras air ultrasonik bersama siren yang mana sistem siren yang berbunyi lebih keras turut didatangkan dengan penghantaran pesanan ringkas yang lengkap dengan paras air sungai terus kepada JPS.
“Dengan sistem baharu ini, siren amaran yang pertama sudah mula kedengaran ketika paras air mencecah serendah dua meter, dan akan berbunyi setiap kenaikan sehingga lima meter iaitu pada paras yang bahaya. Malah akan memberi amaran sehingga 10 kali setiap kali air mula naik,” katanya selepas program taklimat persediaan dan amaran banjir bersama komuniti Kampung Tiram, semalam.
Dalam pada itu, menurutnya, penggunaan sistem siren baharu tersebut akan diperluaskan ke beberapa lokasi banjir yang lain secara berperingkat mengikut keperluan.
“Penempatan sistem siren amaran banjir yang lebih terkini ini diletakkan di Kampung Tiram berikutan kedudukan kawasan ini yang lebih sesuai berbanding lokasi lain di mana jangkaan limbahan air sungai dari Sungai Lembing akan tiba di situ lebih kurang 12 jam.
“Selain itu, di Kampung Tiram lebih sesuai kerana di situ tidak ada tebatan banjir yang dibina dan air yang mengalir akan terus ke Sungai Kuantan.
“Berbanding dengan lokasi banjir yang lain seperti Sungai Lembing, Sungai Kolek, Kampung Cendering, Kampung Kurnia dan Kampung Galing, semua sistem siren sudah di selenggara dan berfungsi dengan baik manakala di Sungai Isap, keperluannya sudah mencakupi apabila terdapat tebatan banjir serta rumah pam yang boleh membantu ketika paras air sungai mula naik,” katanya.
Sementara itu, menurutnya, penggunaan sistem siren amaran banjir yang baharu dapat membantu komuniti mendapat maklumat lebih cepat dan lengkap, serta mengelak daripada info viral yang tidak tepat.
“Selepas ini dengan penggunaan sistem siren amaran banjir yang ada, penduduk hanya perlu lebih peka dengan amaran diberikan dan boleh mengetahui info tepat sama ada melalui ketua kampung, wakil penduduk, laman sosial dan banyak lagi bagi melakukan sebarang tindakan susulan untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment