Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 22, 2015

[KUANTAN] PAHANG BERI HAK MILIK TANAH KEPADA ORANG ASLI

adnan yaakob



Kerajaan negeri Pahang bersetuju memberikan surat hak milik tapak tanah rumah kepada Orang Asli di negeri ini, dengan setiap mereka dijangka memperoleh kawasan seluas 0.1 hektar. 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata ia antara inisiatif kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kaum itu dalam soal pemilikan tanah di negeri ini.

"Dalam masa sama, kerajaan negeri akan mempertimbang menggunakan sistem pemberian saham kepada masyakarat Orang Asli untuk setiap Tanah Rizab Orang Asli bagi mengelak mereka menjual tanah kepada orang lain.

"Ini antara usaha kerajaan negeri untuk tangani masalah dalam kalangan masyarakat Orang Asli secara total, cepat dan berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Menteri Besar Pahang bersama Batin dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) serta penyampaian sumbangan kepada pelajar cemerlang UPSR Orang Asli di Yayasan Pahang di sini, hari ini.

Majlis itu dihadiri 220 Batin dan Pengerusi JKKK serta Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang Isa Abd Hamid.

Adnan berkata kerajaan negeri turut mengambil berat isu bekalan air ke perkampungan Orang Asli yang berlarutan sejak sekian lama berikutan kekurangan peruntukan untuk melaksanakan projek itu.

"Peruntukan RM16 juta daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk kerja-kerja penyaluran bekalan air perkampungan Orang Asli di negeri ini tidak mencukupi kerana kita mempunyai banyak kawasan perkampungan Orang asli di negeri ini.

"Sehubungan itu, kita berharap peruntukan itu dapat ditambah bagi membolehkan masyarakat Orang Asli menikmati kemudahan bekalan air khususnya untuk seramai 70 keluarga Orang Asli di Kampung Tanam, Rompin yang terpaksa bergantung dengan air kubang di sekitar mereka," katanya.

Adnan turut mendesak pihak Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) supaya berkongsi sumber air untuk projek tanaman nanas di kawasan itu dengan masyarakat Orang Asli.




0 comments:

share2