Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, November 22, 2015

[KUANTAN] DEMONSTRASI AMAN BANTAH LORI LALUI JALAN PERUMAHAN

Demonstrasi aman bantah lori lalu jalan taman



Penduduk di Taman Balok Baru di sini membuat demonstrasi aman membantah kenderaan berat terutama lori bauksit melalui jalan di taman perumahan mereka atas faktor keselamatan.

Kehadiran lori-lori berkenaan tanpa mengira masa dan dipandu laju membuat penduduk hilang sabar dan bertindak membantah.

Ahli Jawatankuasa Induk Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Baru, Ali Che Ismail berkata, situasi itu semakin rancak sejak awal tahun dan kenderaan berat berkenaan menggunakan jalan taman itu sebagai laluan alternatif.

Menurutnya, selain dipandu laju, lori-lori tersebut menggunakan jalan itu tanpa mengira masa sedangkan terdapat sekolah dan tadika di kawasan taman.

“Pada setiap pagi lori-lori ini menggunakan jalan ini untuk ke Jalan Pintasan Bypass bagi memendekkan perjalanan.

“Jalan taman ini tidak sesuai digunakan kenderaan berat berkenaan kerana mengancam keselamatan penduduk terutama kanak-kanak,”katanya ketika ditemui di sini.

Ali berkata, walaupun belum berlaku kemalangan, namun pihaknya tidak mahu kejadian yang tidak diingini terjadi.

“Selain itu, ada juga pemandu lori meletakkan kenderaan mereka di kawasan taman perumahan menyebabkan jalan rosak dan paip pecah.

“Justeru, penduduk merayu agar pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya menangani masalah yang membelenggu penduduk di situ,”katanya.

Ali berkata, kuasa KRT terhad dan mereka tidak boleh mengambil tindakan yang melangkaui kuasa yang ada dan amat berharap masalah ini dapat diselesaikan.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Kokurikulum SK Balok Makmur, Mohd Azizi Mohd Ali berkata, kawasan berhampiran sekolah turut dijadikan tempat meletakkan lori.

Katanya, walaupun sudah beberapa kali diberitahu, namun mereka tetap berdegil.

“Saya harap masalah ini dapat diatasi sebelum sesi persekolahan akan datang bermula. Sebelum ini, guru-guru amat bimbang tentang keselamatan murid apabila melihat banyak lori-lori yang menggunakan jalan ini,”katanya.

Pada demonstrasi aman itu, kira-kira 50 penduduk hadir menyatakan bantahan.




0 comments:

share2