Seorang pengguna, Ahmad Aziz Jaafar, 37 berkata, dia pernah mengalami gangguan ketika menggunakan LPT2 tetapi tidak mengendahkannya.
Insiden seram juga berlaku kepada rakannya sendiri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ajil di awal lebuh raya berkenaan dibuka.
“Pernah berlaku ketika saya dalam perjalanan untuk mengambil kawan yang keretanya rosak di LPT2 apabila diganggu dengan siulan menakutkan.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 pagi dan ketika saya memandu terdengar siulan di tempat duduk belakang membuatkan saya seriau," katanya.
Menurutnya, bagi menghilangkan bunyi itu, dia memasang radio dengan kuat dan membaca ayat-ayat suci al-Quran di dalam hatinya.
Apabila tiba di kawasan terang, dia memberhentikan kereta dan memeriksa di bahagian belakang tetapi tiada apa-apa.
Ahmad Aziz turun menceritakan satu lagi insiden menyeramkan iaitu ketika dia bersama rakan berhenti di R&R Ajil.
Menurutnya, ketika itu rakannya menaiki kenderaan bersama isterinya, manakala dia memandu bersendirian.
“Ketika di R&R Ajil, saya nampak isteri kawan saya turun untuk ke tandas dan setelah selesai dia naik semula ke kenderaan dan kami bergerak ke rumah masing-masing.
“Apabila tiba di rumah rakan di Jerangau Barat, saya keluar dari kereta, manakala isterinya tidak berganjak dari tempat duduknya.
“Bagaimanapun, dia mendapat panggilan telefon daripada isterinya dan walaupun agak pelik dia mengangkat dan apa yang mengejutkan si isteri sebenarnya masih berada di R&R Ajil.
“Apabila dilihat di dalam kereta, makhluk yang menyerupai isteri sudah tiada dan barulah dia menyedari yang berada di sebelahnya itu bukanlah isterinya," katanya.
Ahmad Aziz berkata, cerita-cerita mistik memang banyak diperkatakan termasuk ada yang mendakwa nampak lembaga hitam yang besar di atas jejambat.
Menurutnya, memang perkara mistik tidak boleh diketepikan tetapi dia percaya kebanyakan kes kemalangan maut yang berlaku adalah disebabkan kecuaian sendiri.
“Sebagai pengguna kita perlu lebih berhati-hati dan memandu mengikut had laju supaya tidak berlakunya kemalangan meragut nyawa,” katanya.
Lembaga besar di sempadan Ajil-Bukit Besi
Seorang penarik kereta atau “Call Man”, Shamsudian Salleh, 43 berkata, kerjanya sebagai tukang tarik kereta yang mengalami kerosakan akibat kemalangan membuatkannya sentiasa berada di LPT2 dan pelbagai faktor sebenarnya boleh menyumbang kepada kemalangan.
Kisah-kisah mistik yang diperkatakan oleh orang ramai juga bukan perkara asing baginya walaupun tidak pernah mengalaminya sendiri.
Menurutnya, paling banyak tiga kes kemalangan berlaku dalam sehari tetapi kadang-kadang ada juga dalam seminggu tiada kemalangan.
“Antara kisah makhluk halus yang popular di kawasan ini ialah kehadiran lembaga besar di sempadan Ajil dan Bukit Besi.
“Satu lagi gangguan mahkluk berambut panjang dan berpakaian serba putih di sekitar Jerangau dan laluan itu memang berlaku kemalangan.
“Ada juga rakan yang kemalangan selepas terlihat lembaga hitam melintas.
“Bagaimanapun, saya percaya kemalangan yang berlaku disebabkan pelbagai faktor termasuk kehadiran binatang peliharaan seperti lembu dan binatang liar seperti badak, beruang dan tapir,” katanya.
Kubur lama dipindahkan
Biarpun laporan pihak berkuasa menyatakan punca utama berlakunya kemalangan di LPT2 disebabkan kecuaian pengguna, namun isu gangguan makhluk halus tetap menjadi perbualan hangat pengguna serta penduduk.
Malah, ada yang mempercayai unsur-unsur mistik turut menjadi penyebab pusara di lebuh raya memandangkan satu demi satu kemalangan maut terus berlaku apatah lagi tragedi berdarah itu terjadi di lokasi kilometer yang hampir sama.
Tragedi meragut lima nyawa termasuk empat daripadanya rentung di Kilometer (KM) 386 pada 24 Mei lalu begitu meninggalkan kesan di hati, selain insiden maut melibatkan seorang peronda LPT, Razali Ishak,44, pada 27 Jun 2014 di KM 415.1.
Kedua-dua kes tersebut turut menjadi viral di laman sosial sehingga ada yang mengaitkan kejadian kemalangan maut melibatkan peronda LPT mempunyai kaitan dengan usur mistik ekoran adanya ‘seseorang’ dalam sekeping gambar diambil orang awam di lokasi kejadian.
Bagi warga emas dari Kampung Peroh, Che Nik Che Wil,71, cerita ada sesuatu yang melintas sehingga dikatakan punca pemandu terbabas antara kisah sering didengarinya dan rata-rata ia berlaku di kawasan hampir sama termasuk satu lokasi dipanggil Bukit Belah.
“Pakcik tidak pernah alaminya tetapi sering dengar cerita sama beberapa kali iaitu ada benda melintas lalu menyebabkan pemandu terbabas atau kemalangan. Dikatakan juga adanya kubur lama tetapi telah dipindahkan sebelum projek pembinaan LPT2 dimulakan dulu.
“Ketika kerja-kerja pembinaan dilakukan dahulu juga pakcik dengar cerita ada beberapa orang pekerja meninggal dunia kerana tragedi termasuk kenderaan terbalik. Malah, sewaktu lebuh raya belum dibuka ia telah meragut nyawa seorang penunggang motosikal.
“Daripada cerita didengar, penunggang motosikal itu berasal daripada Felda Jerangau Barat. Mayatnya hanya dijumpai sebelah petang oleh penternak lembu, ketika itu darah yang mengalir telah pun kering. Pakcik difahamkan dia terbabas,” ujarnya.
Lebuhraya PLUS pun apa kurangnya cerita mistik..ada sahabat saya berhenti ke tandas di R&R di tgh Perak terbawa "Isteri" dah jalan 5km isteri beliau telefon tanya mana dia..bila toleh dah takda makhluk tu..huii seram bila dengar.