Kelibat aktor ini di dalam industri seni boleh dikategorikan masih baru.
Namun pencapaian dan keberkesanan lakonan dalam setiap drama dan filem lakonannya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Bagaimanapun sejak pulang berkelana ke India dan Bangladesh demi mendalami agama Islam dengan lebih baik, terdengar khabar bahawa aktor ini sedang mempersiapkan diri untuk berkahwin.
Justeru, selepas kali terakhir dikaitkan dengan aktres Lana Nodin, sudahkah Johan As'ari bertemu pengganti sehingga dia giat melakukan persiapan untuk berkahwin?
Oleh itu, peluang bertemu aktor yang terkenal dengan watak Botak menerusi naskhah Juvana ini digunakan pihak media untuk mendapatkan penjelasan sebenar.
"Sejujurnya, memang saya sedang mempersiapkan diri ke arah itu. Tapi bukan bermakna saya akan berkahwin dalam masa terdekat, malah calon pun belum ada lagi.
"Tapi bagi saya setiap lelaki yang mahu berkahwin perlu membuat persiapan ke arah itu. Mahu berkahwin dengan anak orang kita kena pastikan segala keperluan cukup termasuklah menyediakan tempat tinggal, makanan dan sebagainya.
“Itu tanggungjawab utama supaya mereka terjaga. Kestabilan ekonomi sangat penting, disebabkan itu saya perlu mempersiapkan diri ke arah itu terlebih dahulu,” katanya yang ditemui di Majlis Tayangan Filem Juvana 2, baru-baru ini.
Tak serik
Ditebak adakah dia tidak serik untuk bercinta dengan sesama artis, Johan berkata, dia tidak pernah serik untuk kembali bercinta.
"Bagi saya masing-masing ada hak, peluang untuk memperbaiki diri. Begitu juga dengan saya.
"Saya tidak akan serik untuk bercinta sesama artis seandainya ditakdirkan untuk berkahwin dengan rakan seperjuangan. Siapa saya untuk menolak suratan takdir?," katanya.
Meletakkan sasaran dua tahun lagi untuk mendirikan rumah tangga, Johan yang bakal menginjak ke usia 29 tahun, 3 Disember ini, berhasrat untuk memantapkan kariernya terlebih dahulu.
Ujarnya, dia juga tidak merancang untuk meletakkan sebarang had dalam lakonannya biarpun baru pulang dari mendalami ilmu agama, baru-baru ini.
"Saya tidaklah berubah secara drastik dan tidak akan meletakkan syarat serta batasan dalam lakonan. Tetapi saya menghormati keputusan mana-mana pelakon yang meletakkan syarat tidak mahu bersentuhan kerana itu hak mereka.
"Bagi saya selagi babak itu tidak keterlaluan, saya akan melakonkan sebaik mungkin.
"Lagipun kita ada sesi perbincangan dengan pengarah untuk menjayakan sesuatu babak dan dari situ juga kita boleh berbincang untuk kurangkan apa yang tidak sepatutnya,” katanya.
Dalam pada itu, Johan bersama rakan-rakannya kembali dengan sekuel terbaru Juvana 2 yang menemui penonton sejak 29 Oktober lalu.
Selain Johan, filem ini juga turut dijayakan oleh Zahiril Adzim (Daim), Adam Shahz (Ayam), serta penampilan khas Pekin Ibrahim (Tok Ki).
0 comments:
Post a Comment