Kemaman - “Masa bungkuskan kuih untuk arwah bawa balik, tiba-tiba makcik rasa lain… makcik rasa sayu dan teringat masa arwah mak makcik meninggal dulu.
“Tapi lidah makcik kelu untuk beritahu apa yang makcik rasa semasa hulurkan kuih kepada arwah,” kata Fatimah Ismail, 49, ibu kepada wanita OKU yang maut.
Nor Azean Mohamad Sari, 25, maut selepas Perodua Viva dipandunya terbabas melanggar pengadang besi jalan dalam kemalangan di Kilometer 273.5 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), sekat susur keluar Cheneh, di sini, pada jam 9.15 pagi semalam.
Nor Azean yang bekerja sebagai operator di sebuah pusat khidmat panggilan swasta di Petaling Jaya, ketika kejadian dalam perjalanan pulang untuk bekerja selepas bercuti selama dua hari di kampung halamannya di Kampung Rhu Batil, Kuala Abang, Dungun.
Mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik dan mengalami kecacatan di kaki, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
Berkelakuan pelik
Fatimah berkata, walaupun rasa tidak sedap hati, dia sempat berpesan kepada anaknya itu agar tidak memandu laju.
Menurutnya, dia perasan sejak dua hari balik kampung, arwah ada menunjukkan kelakuan yang agak pelik.
“Dia bungkus semua pakaiannya dan simpan di dalam almari di bilik tidurnya. Dia juga ada mengadu yang dia tak bersemangat nak kerja.
“Tapi tak terlintas di fikiran saya, perubahan perangainya itu adalah tanda yang dia akan pergi tinggalkan kami,” katanya tanpa dapat menahan tangis ketika ditemui untuk menuntut jenazah anaknya itu di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kemaman.
Mangsa yang baharu sahaja tiga bulan bekerja di Petaling Jaya merupakan anak harapan buat keluarganya dan walaupun bekerja jauh tetapi tidak menghalangnya untuk balik kampung dua minggu sekali, menjenguk keluarga.
Lebih memilukan, pemergian tanpa diduga itu juga membuatkan mangsa tidak sempat membantu keluarga menguruskan majlis solat hajat yang akan diadakan keluarganya pada 20 Oktober ini.
Kata Fatimah, mereka sekeluarga merancang untuk mengadakan solat hajat sebagai tanda kesyukuran atas kesihatannya yang bertambah baik, selepas mengalami kecederaan serius iaitu patah tulang di beberapa bahagian badan akibat ditendang pencuri yang memecah masuk rumah mereka beberapa bulan lalu.
Bersalam seperti biasa
Bapa mangsa, Mohamad Sari Ngah, 53, berkata, anak gadisnya itu bertolak dari rumah kira-kira jam 8 pagi kerana perlu masuk kerja pada jam 1 petang.
“Sebelum gerak, dia bersalam dengan saya seperti biasa dan saya juga pesan kepadanya agar berhati-hati bawa kereta.
“Namun selang sejam kemudian, saya dapat panggilan yang memaklumkan anak saya kemalangan,” katanya yang bekerja sebagai buruh.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.
Beliau berkata, hasil bedah siasat pada jam 12.30 tengah hari mendapati, kematian mangsa berpunca daripada pendarahan di kepala.
Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Pemilik Viva Terengganu, Mohd Sharimi Shaari memberitahu, mangsa merupakan ahli yang aktif dalam kelabnya dan sering mengikuti aktiviti yang dianjurkan seperi konvoi, aktiviti sukan dan program santai.
“Kekurangan tidak menghalangnya untuk aktif bergaul. Kehilangannya kini cukup dirasai semua ahli kelab ini dan kami berharap agar keluarga arwah tabah berdepan dengan ujian ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment