Paka - Beberapa keluarga terpaksa tidur berbumbungkan langit dan dalam keadaan rumah digenangi air apabila atap kediaman mereka diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Tebing Tembah, di sini, malam kelmarin.
Sebanyak 17 rumah di kawasan itu mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung dan kerugian dianggarkan mencecah ribuan ringgit.
Salah seorang mangsa, Rosmani Ismail, 42, berkata, kira-kira 80 peratus atap rumahnya diterbangkan angin dan dia sekeluarga berdepan detik cemas apabila runtuhan atap nyaris menimpa mereka.
Menurutnya, ketika kejadian dia berada di ruang tamu sedang menonton televisyen, manakala suami berada di luar rumah sebelum keluar meronda.
“Pada awalnya keadaan masih tenang, tapi tiba-tiba angin kuat menerbangkan pasir ke dalam rumah melalui pintu utama yang terbuka.
“Tanpa berfikir panjang saya terus kejut anak-anak yang sedang tidur, tapi masih belum sempat keluar terdengar bunyi seakan tembakan bertalu-talu dan ketika tu atap rumah kami sebenarnya pecah serta runtuh akibat diterbangkan angin,” katanya.
Cerita Rosmani, walaupun masih di dalam rumah tetapi mereka bernasib baik kerana serpihan atap tidak terjatuh ke atas mereka.
“Kejadian berlaku sekelip mata saja, rumah kami dah berlubang besar di bahagian atas. Bukan saja hampir keseluruhan bumbung tercabut, tapi keadaan dalam rumah juga huru-hara dan dibasahi air hujan.
“Malam tadi kami sekeluarga terpaksa tidur dalam keadaan agak menyedihkan di sudut-sudut rumah dan berbumbungkan langit.
“Akibat kejadian itu, kerugian dialami dianggarkan sebanyak RM15,000... bencana macam ni tak pernah berlaku di kampung ni,” katanya.
Bimbang kejadian berulang
Jirannya, Nor Hayati Ismail, 43, turut berdepan masalah sama apabila dianggarkan 20 hingga 30 keping atap rumahnya diterbangkan angin.
“Sewaktu kejadian kami sekeluarga dah tidur, tapi tak semena-mena tanpa sebarang petanda angin kuat yang datang terus menerbangkan sebahagian besar bumbung.
“Angin pada malam tadi taklah terlalu kuat jika dibandingkan pada malam sebelum tu... kami tak sangka ia boleh angkat bumbung rumah,” katanya.
Menurut Nor Hayati, kerosakan dialami agak teruk dan memandangkan hari sudah malam mereka terpaksa tidur dalam keadaan bumbung terbuka.
“Ruang dalam rumah juga habis basah, kami tak dapat buat apa-apa sehinggalah hari siang.
“Sepanjang saya tinggal kat sini sejak 43 tahun, kejadian seburuk ini tak pernah berlaku dan kalau ikutkan memang kami bimbang jika ia berulang,” katanya.
Kerja baik pulih digerakkan segera
Sementara itu, Ketua Cawangan Pas Tebing Tembah, Mohamad Ibrahim berkata, bagi memudahkan urusan mangsa yang ditimpa bencana, kerja gotong-royong membersih dan membaik pulih atap digerakkan segera.
“Sebanyak 17 rumah menjadi sasaran termasuk dua daripadanya adalah rumah kedai.
“Kira-kira 20 orang tenaga kerja terdiri daripada ahli jawatankuasa Pas turun padang membantu dalam kerja gotong-royong,” katanya.
Beliau berkata, kejadian ribut yang menyebabkan banyak rumah terjejas seperti ini tidak pernah berlaku.
“Biasanya jika ribut kuat hanya dua hingga tiga rumah yang rosak... tapi kali ni paling banyak terjejas, tapi alhamdulillah kerana tiada kemalangan jiwa.
“Bagaimanapun, kita berusaha bantu mengikut kemampuan dan keperluan,” katanya.
Selain di Tebing Tembah, beberapa lagi lokasi di sekitar Paka turut dilanda ribut yang menyebabkan beberapa rumah penduduk mengalami kerosakan.
Difahamkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut turun padang untuk meninjau kerosakan yang berlaku.
0 comments:
Post a Comment