Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 17, 2015

SMS PALSU, KAIN RENTANG, PAS LAPOR POLIS


SMS palsu, kain rentang, Pas lapor polis


Shah Alam - Pas hari ini menegaskan ada cubaan memfitnah parti itu melalui penyebaran SMS palsu serta pemasangan kain rentang yang mengandungi mesej serupa di tepi jalan utama di Kelantan.

Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Ahmad Amzad Hashim berkata, sebaran SMS palsu itu didakwa datang daripada nombor telefon Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Abdullah.‎

Namun Wan Sukairi telah menafikan perkara itu dan laporan polis akan segera dilakukan.

“Kedua-dua SMS dan kain rentang ini mempunyai unsur hasutan kebencian dan ancaman perang serta mesej perkauman dan sentimen ekstrem permusuhan agama.

“SMS palsu ini nyata bertujuan membentuk pandangan serong kepada bukan sahaja Wan Sukairi sebagai seorang tokoh dan ustaz yang dihormati oleh masyarakat, tetapi juga menimbulkan kemarahan dan kebencian kepada Pas oleh kerana beliau seorang pemimpin Pas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kain rentang yang dipasang di Kelantan mempamerkan gambar pemimpin-pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dengan tulisan ‘Kafir Harbi Sebenar!’.

Menurut Ahmad Amzad, penyebaran fitnah itu jelas membentuk gambaran yang buruk kepada Pas khususnya dalam kalangan bukan Islam dan rakyat Malaysia yang umumnya cintakan keamanan.

“Pas mengecam perbuatan fitnah yang tidak bertanggungjawab ini dan ia seperti manifestasi bankrap idea oleh pelakunya dalam berdepan secara budiman 'gentleman' dengan Pas yang kini menerima dukungan jelas dari rakyat dan dijadikan tumpuan meminta pandangan dan sokongan oleh rakyat hatta oleh NGO-NGO yang pernah paling keras sikap permusuhannya dan paling setia kepada Umno sebelum ini seperti Perkasa,” katanya.

“Yang nyata budiman ketika ini adalah Pas yang terus beristiqamah melapangkan dada menerima kunjungan sesiapa sahaja yang mahu berbincang tentang kepentingan rakyat dan negara kecuali yang nyata khianatnya kepada Pas,” katanya.

0 comments:

share2