Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 31, 2015

SIAP SEDIA LEBIH AWAL HADAPI `BAH KUNING'


banjir


Kuala Lumpur - Agensi keselamatan kini bersiap sedia lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir luar biasa di pantai timur sepertimana penghujung tahun lepas.

Pada penghujung 2014, jajahan Kuala Krai, Kelantan menjadi jajahan paling teruk dilanda 'bah kuning' yang menyebabkan 1,927 rumah musnah dihanyut arus deras bah kuning.

Taburan hujan tertinggi yang direkodkan iaitu 1,295 mm selama tiga hari berturut-turut di Gua Musang, Kelantan dan ia bersamaan dengan taburan hujan untuk 64 hari.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Datuk Che Gayah Ismail berkata empat episod hujan lebat yang menyeluruh dijangka berlanjutan selama tiga hingga lima hari bermula November ini.

"Episod hujan pertama dijangka berlaku pada 1 November dan nasihat hujan lebat bagi negeri Kelantan dan Terengganu telah dikeluarkan. 

"Amaran seterusnya akan kita maklumkan dalam tempoh antara 45 hingga 72 jam berdasarkan pemantauan cuaca," katanya ketika dihubungi Bernama.

Berikutan itu, Che Gayah berkata pada bulan November hingga Disember negeri di pantai timur dijangka menerima hujan melebihi 500 mm yang melebihi 20 hingga 40 peratus daripada paras normal.

Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Datuk Zaitun Ab Samad berkata pihaknya telah mengeluarkan arahan pembekuan cuti kepada anggota dan pegawai JPAM di seluruh negara secara berperingkat.

Zaitun yang juga Setiausaha Pengurusan Bencana Pusat berkata dari aspek logistik JPAM mempunyai lori pelbagai muatan, bot pelbagai guna dan jumlah keanggotaan kira-kira 855,000 di seluruh negara yang mencukupi bagi menghadapi musim itu.

"Walaupun JPAM tidak mempunyai helikopter tetapi kami bekerjasama dengan agensi keselamatan lain seperti polis yang mempunyai pesawat itu ketika operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir," katanya. 

Selain itu, Zaitun berkata JPAM juga akan menempatkan anggotanya bertugas di pusat pemindahan banjir untuk menyelaras aktiviti memasak bagi mangsa banjir serta mengendalikan aktiviti untuk kanak-kanak.

"Di pusat pemindahan banjir nanti JPAM akan bertugas mengikut shif yang ditetapkan dan mengagihkan makanan yang dibantu oleh agensi keselamatan lain," katanya.

Beliau berkata, ketua komuniti seperti penghulu juga diminta membuat satu profil komuniti di kawasan mereka.

"Untuk kawasan berisiko banjir, ketua komuniti ambil peranan buat satu profil siapa penduduk di kawasan mereka, anggaran umur berapa untuk mudahkan urusan ketika banjir nanti," katanya.

Sementara itu Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pihaknya mempertingkat latihan dan persiapan dalam usaha menghadapi kemungkinan bah kuning hujung tahun ini khususnya di negeri pantai timur.

Oleh itu, beliau berkata tempat simpanan aset menyelamat di Wakaf Tapai, Terengganu akan dijadikan sebagai pusat gerakan logistik untuk kegunaan negeri di Pantai Timur.

"JBPM mempunyai aset yang mencukupi seperti bot aluminium sebanyak 608 buah, bot Fiber (63), bot kevlar (16) dan bot amfibia (11) di seluruh negara dan bomba akan gerakkan aset berkenaan ke negeri-negeri lain sekiranya keadaan memerlukan," katanya.

Selain itu, Wan Mohd Nor berkata antara latihan yang diberi tumpuan ialah cara menyelamat di dalam air, mengendalikan bot dengan betul serta memberi pertolongan cemas yang secara tidak langsung akan menilai ketahanan diri dan keupayaan anggota menghadapi situasi yang sukar.

0 comments:

share2