Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 29, 2015

SAYA LETAK JAWATAN SPEAKER PERAK JIKA...


SK Devamany


Kuala Lumpur - Naib Presiden MIC, Datuk Seri S.K. Devamany berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai speaker Dewan Undangan Negeri Perak jika memenangi jawatan nombor dua dalam parti demi kebaikan MIC dan masyarakat India.

Sekiranya dipilih sebagai timbalan presiden MIC, maka adalah penting untuk memberi tumpuan kepada parti dan agenda pembangunan masyarakat serta mengembalikan sokongan kepada parti mewakili masyarakat India di Malaysia dan bagi Barisan Nasional (BN), kata beliau.

"Dalam usaha untuk memberi tumpuan bagi membangunkan semula parti, saya harus berada dalam arus utama (kepimpinan) kerana jawatan timbalan presiden adalah amat penting untuk memberi nafas baharu kepada parti supaya relevan untuk rakyat dan pengundi.

"Justeru, jika saya menang jawatan timbalan presiden, saya akan meletak jawatan speaker," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

Sebanyak 1,500 anggota perwakilan MIC akan memilih barisan kepimpinan MIC pada Perhimpunan Agung parti ke-68 yang akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), dekat sini pada 6 November ini.

Pemilihan semula parti kali ini dijangka menyaksikan persaingan sengit antara Devamany dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan bagi jawatan nombor dua dalam parti.

Perebutan jawatan timbalan presiden, yang menjadi kosong selepas Datuk Seri Dr S. Subramaniam naik untuk menggantikan Datuk Seri G. Palanivel sebagai presiden parti, akan menyaksikan pertarungan yang menjadi tumpuan selepas enam tahun berlalu tanpa pertandingan.

"Kami pergi dari rumah ke rumah untuk berkempen dan saya juga menjelaskan mengenai visi jelas Dr Subramaniam ... imej kami secara beransur-ansur semakin bertambah baik susulan prestasinya.

"Kami telah menangani semua isu. Tempoh krisis telah berakhir dan dengan pemilihan ini, kami boleh bergerak ke depan untuk meningkatkan imej parti yang penting untuk mengubah minda," kata beliau.

Setakat ini, Devamany berkata, sokongan yang diterima beliau nampaknya baik dan responsif.

Pemilihan semula itu diadakan bagi semua jawatan dalam parti selepas Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pemilihan pada November 2013 akibat salah laku dan mengarahkan parti mengadakan pemilihan semula untuk memilih pemegang jawatan yang baharu parti sebelum akhir Oktober 2015.

0 comments:

share2