Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 3, 2015

PESAWAT AVIASTAR DILAPOR HILANG


Aviastar


Jakarta -  Sebuah pesawat milik syarikat penerbangan Aviastar dilaporkan hilang setelah terputus hubungan dengan menara kawalan Lapangan Terbang Andi Djemma, Masamba di Sulawesi Selatan.

Menurut laporan portal-portal media tempatan, pesawat jenis Twin Otter itu berlepas dari lapangan terbang berkenaan pada 2.25 petang waktu tempatan dan terputus hubungan 11 minit setelah berlepas.

Pesawat kecil yang membawa tujuh penumpang dan tiga anak kapal itu dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin di Makassar pada 3.35 petang.

Ketua Pusat Penerangan dan Komunikasi Kementerian Perhubungan Indonesia, J.A Barata dipetik sebagai berkata, bahawa pihaknya masih belum mendapat maklumat lengkap mengenai kedudukan pesawat itu dilaporkan hilang.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya hanya dapat mengesahkan bahawa pesawat itu dilaporkan hilang kerana terputus hubungan dan tidak mendarat di Makassar seperti yang dijadualkan.

Siasatan mengenainya masih dijalankan, katanya.

Masamba ialah bandar kecil di kawasan sungai di Luwu Utara, Sulawesi Selatan dan terletak pada jalur Trans-Sulawesi yang menghubungkan Sulawesi Selatan dengan Sulawesi Tengah.

0 comments:

share2