Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 3, 2015

ENCIK OBAMA, AWAK ADA PERASAANKAH?


Encik Obama, awak ada perasaankah


Shah Alam - Kerjayanya memang menuntut suatu keazaman yang cukup tinggi. Bukan hanya terpaksa melihat wanita dan kanak-kanak dizalimi, hakikat ia lebih daripada itu sehingga timbul suatu persoalan.

“Encik Obama, awak ada perasaankah? Cuba habiskan masa awak selama satu malam di Gaza bersama kami, ia pasti akan mengubah sejarah,” kata-kata tersebut diungkapkan sendiri oleh seorang doktor perubatan dari Norway, Dr Mads Gilbert.

Gilbert adalah antara individu yang menyaksikan sendiri kekejaman Zionis ke atas masyarakat Gaza termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

Beliau bertugas di Hospital Al-Shifa di Gaza semasa serangan tentera Israel berlaku di Gaza pada hujung tahun lalu.

Doktor itu kini berada di Malaysia untuk menceritakan pengalaman ngerinya ketika bekerja di hospital temasuk pengepungan Gaza yang berlaku pada waktu itu.

Gilbert dilahirkan pada tahun 1947 dan merupakan seorang doktor dan aktivis kemanusiaan.

Beliau adalah seorang pakar dalam anestesiologi dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan di Hospital Universiti Utara Norway.

Menggambarkan dirinya sebagai seorang doktor yang aktif berpolitik, Gilbert akhirnya menulis sebuah buku bertajuk 'Malam di Gaza' yang menggambarkan pengalamannya di hospital Al-Shifa pada musim panas lalu.

“Ini adalah sebuah tempat yang menggambarkan kekuasaan manusia, penderitaan dan ketahanan. Dan (keadaan itu) adalah sesuatu yang hampir tidak boleh difahami dan mustahil untuk ditangani.

“Dan mereka (kakitangan perubatan) berdiri teguh, tidak menolak walau seorang pun pesakit dan tetap melakukan setiap pembedahan rumit dengan tahap profesionalisme tertinggi,” kata-kata tersebut dipetik menerusi petikan yang terdapat di dalam bukunya.

Gilbert akan mengadakan satu program ceramah bagi menceritakan pengalamannya berkhidmat sebagai seorang doktor di Gaza bermula jam 3 petang esok bertempat di Pusat Komuniti Bukit Bandar Raya, Jalan Medang Tanduk, Kuala Lumpur.

Menurut Jawatankuasa Media Ahli Viva Palestina Malaysia, Dr Hamidah Marican, Gilbert akan berkongsi pengalaman mengenai saat-saat cemas yang dilalui olehnya semasa merawat mangsa-mangsa pengeboman di bumi Gaza.

“Gilbert juga akan memberikan langkah serta nasihat terbaik bagi masyarakat mengenai cara-cara untuk memboikot Israel dengan tepat,” katanya kepada Sinar Online.

Program yang akan berlangsung esok petang merupakan program yang terbuka kepada orang ramai.

Pendaftaran yuran masuk adalah mengikut ihsan masing-masing dan hasil kutipan akan didermakan kepada badan kebajikan Gaza.

“Kita akan kenakan yuran bayaran kepada peserta program, bagaimanapun jumlahnya terpulang kepada peserta itu sendiri. Pelajar pula tidak dikenakan sebarang bayaran,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jawatankuasa Media Ahli Viva Palestina Malaysia di talian:-

Dr Hamidah Marican +6012 217 0918

Azlinda Arshad +6019 220 0013

Noorazian +6012 211 5749

Shida Shahnan + 6011-2137 0569

0 comments:

share2