Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 12, 2015

[PEKAN] TEKNOLOGI KANADA BANTU RAWAT AIR KERUH


 Ir Mohd Soffi Abdul Razak


Kerajaan negeri akan menggunakan teknologi dari Kanada bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang berpunca akibat kekeruhan air mentah daripada sumbernya seperti sungai.

Exco Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berkata, pihaknya sudah melihat teknologi berkenaan dalam lawatan teknikal dan pelaburan di beberapa negara Eropah baru-baru ini.

Katanya, dalam lawatan ke sebuah loji rawatan air di Paris, Perancis mereka melihat bagaimana air yang keruh dengan kadar 1,000 NTU (Nephelometric Turbidity Units) mampu dirawat dan digunakan oleh orang ramai.

"Malah ia mampu merawat air yang keruh dengan kadar 4,200 NTU, selain itu ia juga mampu merawat air mentah yang mengandungi arsenik serta logam besi.

"Kita percaya teknologi berkenaan dapat merawat air mentah yang keruh di Raub dan Lipis selain Kuantan yang mengandungi banyak logam besi berikutan aktiviti perlombongan," katanya.

Sebelum ini, timbul kebimbangan orang ramai dengan kekeruhan air di beberapa sungai yang menjadi sumber air menyebabkan loji rawatan tidak mampu beroperasi sekali gus mengurangkan bekalan air dirawat.

Mengulas lanjut, Mohd Soffi berkata, operasi sesebuah loji rawatan biasanya akan dihentikan sekiranya air mentah yang diterima daripada sumber berhampiran mengalami kekeruhan pada kadar 1,000 NTU.

"Itu prosedur operasi standard (SOP) yang kita laksanakan kerana reka bentuk loji rawatan yang sudah lama dan menggunakan teknologi secara konvensional," katanya.

Berhubung pencemaran bauksit sehingga memberi kesan kepada kehidupan masyarakat di sekitar Kuantan, Mohd Soffi berkata, pihaknya akan melaksanakan beberapa pendekatan bagi mengatasi masalah berkenaan.

"Ada beberapa langkah antaranya menguatkuasakan penggunaan karung khas bagi mengangkut bauksit untuk mengurangkan masalah debu ketika bahan perlombongan seperti bauksit dibawa ke pusat pengumpulan.

"Kita juga sudah meminta Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) menyediakan sistem saliran yang mampu menyekat aliran bahan perlombongan ke Sungai Pengorak dan Pantai Pengorak," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan negeri atau agensi kerajaan lain tidak pernah memberi kelulusan bagi sebarang aktiviti di Sungai Pengorak termasuk menjadi sumber bekalan air mentah dan menangkap ikan.

0 comments:

share2