Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, October 4, 2015

‘NAJIB, TOLONGLAH SELAMATKAN PALESTIN'


‘Najib, tolonglah selamatkan Palestin’


Kuala Lumpur - Malaysia didakwa mampu memainkan peranannya dalam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelamatkan bumi Palestin daripada cengkaman rejim Israel.

Aktivis kemanusiaan yang juga seorang doktor perubatan dari Norway, Dr Mads Gilbert berkata, tindakan segera amat diperlukan ketika ini, bukan sekadar kata-kata.

"Saya dengar ucapan perdana menteri anda di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) semalam dan dia menyentuh perkara penting tentang Palestin.

Tapi kita tidak perlukan kata-kata, kita perlukan tindakan.

"Jika saya boleh berhajat, saya harap kerajaan Malaysia akan ambil kesempatan atas keahliannya dalam Majlis Keselamatan PBB dan kepimpinan mereka dalam Asean.

“Buat gesaan dengan tekanan yang konkrit terhadap Israel untuk membebaskan Gaza segera," katanya pada sidang media sebelum menyampaikan perkongsian tentang pengalamannya di Gaza, di sini, semalam.

Menurutnya, Malaysia mempunyai kuasa politik yang boleh digunakan.

"Malaysia mempunyai banyak kuasa politik tapi perlu gerakkan 'ototnya'.

"Kuasa politik perlu bertanggungjawab, begitu juga perdana menteri Malaysia untuk gunakan kedudukannya dalam majlis itu untuk jalankan sekatan terhadap Israel. Please Mr prime minister, flex your muscle, not only your tounge (Tolonglah encik perdana menteri, gerakkan otot anda, bukan hanya berkata-kata)," katanya.

Katanya, Malaysia boleh mengutarakan kepada jawatankuasa Majlis Keselamatan PBB agar melaksanakan sekatan ke atas Israel.

"Jadi, saya mohon kepada perdana menteri Malaysia utarakan kepada jawatankuasa Majlis Keselamatan PBB dan Asean untuk melakukan sekatan dan boikot politik kepada Israel.

"Sehingga mereka membebaskan Gaza dan sehingga jalan penyelesaian politik ditemui," katanya.

Tambahnya, "pengepungan tentera Israel ke atas Gaza merupakan satu malapetaka. Kanak-kanak di sana berdepan kekurangan nutrisi, kurang pendidikan, kekurangan kebebasan."

Beliau melihat sendiri kekejaman Zionis ke atas masyarakat Gaza termasuk wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

Beliau bertugas di Hospital al-Shifa di Gaza semasa serangan tentera Israel berlaku di Gaza pada hujung tahun lalu.

Gilbert dilahirkan pada tahun 1947 dan merupakan seorang doktor dan aktivis kemanusiaan.

Beliau adalah seorang pakar dalam anestesiologi dan berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan di Hospital Universiti Utara Norway.

Menggambarkan dirinya sebagai seorang doktor yang aktif berpolitik, Gilbert akhirnya menulis sebuah buku bertajuk 'Malam di Gaza' yang menggambarkan pengalamannya di hospital al-Shifa pada musim panas lalu.

0 comments:

share2