“Saya sepatutnya membawa bayi saya melakukan pemeriksaan lanjut di Institut Jantung Negara (IJN) pada Jumaat lalu, namun kerana kesempitan wang, saya tak dapat ke sana,” demikian luahan bapa Nur Nazira Batrisya, Mohd Naim Shamsuddin, 25, ketika ditemui di sini.
Mohd Naim berkata, bayi sulungnya yang baru berusia 44 hari disahkan mengalami masalah jantung berlubang dan injap tertukar selepas tiga hari dilahirkan.
Menurutnya, Nur Nazira yang dilahirkan secara pembedahan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) lebih seminggu untuk rawatan.
“Saya dan isteri, Nur Nabihah Abas, 21, sepatutnya membawanya ke IJN untuk pemeriksaan lanjut.
“Bagaimana pun, saya tidak mempunyai wang yang cukup disebabkan pendapatan sebagai pekerja kontrak tidak menentu,” katanya ketika ditemui di Flat Kampung Pak Mahat, di sini, semalam.
Mohd Naim berkata, dia memerlukan wang untuk menampung kos ke IJN termasuk RM500 untuk pendaftaran masuk ke wad.
Mohd Naim dan isteri yang menumpang di rumah neneknya, Mariam Muda, 77, berkata, dia sedih dan terkejut apabila doktor memberitahu bayinya yang masih kecil itu mengidap masalah jantung.
“Mungkin ini dugaan buat kami.
“Buat masa ini, saya masih berharap ada pihak yang prihatin dan sudi membantu bayi kecil kami ini,” katanya.
Mohd Naim berkata, sekiranya dia mempunyai wang cukup, dia akan mendapatkan tarikh baharu untuk membawa anaknya itu menerima rawatan susulan di IJN.
Sesiapa yang ingin membantu pasangan ini boleh menghubungi Mohd Naim di talian 014-2935160.
0 comments:
Post a Comment