Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 22, 2015

KIT SIANG DIGANTUNG 6 BULAN DARIPADA HADIRI SIDANG DEWAN RAKYAT




KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang digantung selama enam bulan daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat berkuatkuasa hari ini. 

Keputusan penggantungan terhadap pemimpin veteran DAP itu dipersetujui selepas usul itu dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said pada jam 11.30 pagi tadi untuk dibahaskan. 

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiande, membuat keputusan itu selepas majoriti Ahli Parlimen menerima usul berkenaan. 

Sebelum usul itu dibahaskan, Ronald memberi peluang kedua kepada Kit Siang untuk memohon maaf dan menarik balik tanpa syarat kenyataannya pada Isnin yang menuduh Speaker menyalahgunakan kuasa dan mensabotaj siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkaitan isu penangguhan siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). 

Bagaimanapun, Kit Siang dilihat berdolak dalih dengan kenyataannya dan berkeras enggan memohon maaf dan mendakwa beliau tidak pernah berniat untuk menuduh Speaker menyalah gunakan kuasa atau mensabotaj penyiasatan 1MDB. 

"Saya tak pernah ada niat tuduh salah guna kuasa atau sabotaj. Saya tidak pernah gunakan perkataan 'sengaja'. Sesiapa yang pengecut tuduh saya sila bangun! 'All cowards' sila berdiri dan keluar!" katanya. 

Keengganan Kit Siang memohon maaf menyebabkan Ronald bersetuju usul itu dibahaskan Ahli Parlimen di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat 27 (3). 

Ketika sesi perbahasan selama 1 jam 30 minit itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit mempertikaikan usul terbabit, malah ada yang mendakwa ia bermotifkan politik dan boleh mencemarkan institusi Parlimen, menyebabkan Dewan gamat dan kecoh seketika. 

Ronald kemudian mengarahkan Kit Siang keluar Dewan pada jam 1.11 tengah hari selepas undian mendapati 107 Ahli Parlimen setuju manakala 77 tidak setuju dengan usul itu. 

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Pandikar memberi peluang kepada Kit Siang untuk memberi penjelasan, memohon maaf dan menarik balik tanpa syarat kenyataannya pada Isnin lalu. 

Bagaimanapun, peluang yang diberi tidak dipenuhi pemimpin pembangkang itu, memaksa Ronald yang mengambil alih persidangan pada sebelah petang semalam memutuskan Kit Siang sebagai tidak mahu memberi penjelasan dan menarik balik kenyataannya itu. 

Ekoran itu, notis pemberitahuan usul penggantungan yang ditarik balik pada awalnya oleh Azalina dikemukakan ke Dewan Rakyat lewat petang semalam untuk dibahaskan semula pagi ini.

0 comments:

share2