Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 14, 2015

[JERANTUT] TEMUI AJAL SELANG SEHARI


Temui ajal selang sehari


'Tidak sampai 24 jam abang dikebumikan, kini adiknya pula mengiringinya apabila maut dalam kemalangan jalan raya.'

Demikian cerita isteri mangsa kemalangan, Hanisah Harun, 49, apabila ditemui di bilik mayat Hospital Jerantut malam semalam menceritakan abang iparnya, Azmalizam Daud yang baharu sahaja dikebumikan di Felda Ulu Jempol, Maran, Ahad lalu selepas meninggal dunia akibat sakit jantung.

“Saya tak sangka, baru kelmarin (Ahad) arwah suami, Abdullah meratapi pemergian abangnya ke rahmatullah, hari ini (kelmarin) saya dan anak pula diduga kehilangannya (suami).

“Kami sekeluarga tak sangka arwah suami akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Abdullah Sani, 51, maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 1.5, Jalan Jerantut - Maran berdekatan persimpangan masuk stesen minyak Shell, kawasan industri bandar Jerantut, di sini jam 5 petang kelmarin setelah merempuh sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.

Mangsa yang bekerja sebagai pemandu di Felda Agricultural Services Sdn Bhd (FASSB) Tekam, dekat sini menunggang motosikal berkuasa tinggi telah meninggalkan isterinya, Hanisah dan tiga anak berusia 18, 16 dan 12 tahun.

“Arwah suami memang gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi dan hari ini (kelmarin) pergi ke bandar Jerantut kerana urusan berkaitan abangnya termasuk pembayaran bil. Setelah 20 minit keluar dari rumah, saya dihubungi rakannya mengenai kemalangan ini.

“Ketika saya dan anak tiba di hospital, suami sudah meninggal dunia dan saya reda dengan ketentuan ALLAH SWT yang memilih arwah untuk bersama-sama abangnya,” katanya.

Hanisah berkata, jenazah suaminya dituntut keluarga pada jam 11 malam semalam di bilik mayat Hospital Jerantut untuk dikebumikan di Felda Ulu Jempol, Maran.

Sementara itu, Ketua Polis Jerantut, Superintendan Azid Ismail, berkata, mangsa maut akibat cedera parah di bahagian dalam badan, patah kaki dan tangan.

Menurutnya, dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, mangsa dari arah Maran merempuh Toyota Hilux dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dari arah Benta yang memandu kenderaan itu memasuki persimpangan masuk ke stesen Shell kawasan industri bandar ini.

“Dalam perlanggaran terbabit, motosikal berkuasa tinggi remuk dan beberapa bahagian berkecai.

“Toyota Hilux berkenaan cuma rosak di bahagian pintu belakang dan pemandunya selamat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu pacuan empat roda berkenaan ditahan untuk disiasat, manakala orang ramai yang melihat kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Jerantut menerusi talian 09-2666889 untuk membantu siasatan.

0 comments:

share2