Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 26, 2015

BURUH WARGA INDONESIA MATI DITIKAM GARA-GARA SELIPAR




Johor Bahru – Seorang pekerja buruh kontrak warga Indonesia maut ditikam anak saudaranya, gara-gara menegur suspek akibat selipar miliknya yang dipakai terpijak tahi anjing di kawasan rumah setinggan, Jalan Kebun Teh Lama, di sini, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata Sahral Asmara, 56, yang juga berstatus penduduk tetap ditikam pada pukul 7.40 malam di rumahnya.

“Sebelum kejadian, mangsa dikatakan bertengkar dengan suspek mengenai perkara itu. Suspek yang tidak puas hati lalu meluru masuk ke dalam rumah dan keluar semula dengan pisau lapan inci sebelum menikam mangsa di bahagian kanan pinggang,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sulaiman berkata mangsa kemudiannya sempat keluar dari rumah dan meminta tolong jiran-jirannya sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan.

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan, kata beliau.

Sulaiman berkata pihaknya kini giat melakukan usaha untuk menjejaki suspek utama yang juga warga Indonesia, berumur dalam lingkungan 42 tahun, yang melarikan diri sejurus kejadian.

Beliau meminta saksi dan orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Daerah Johor Baharu Selatan di 07-2218999.

Kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

0 comments:

share2