Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 17, 2015

BADI MEK NAK: TARUHAN EYRA MENJADI


Badi Mek Nak: Taruhan Eyra menjadi


Joe, Faiz, Tania dan Kila merupakan sekumpulan pelajar perubatan yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah hospital. Mereka telah diberi tugasan untuk menjalankan pemeriksaan anatomi terhadap mayat seorang bidan yang telah mati, Mek Nak.

Namun semasa proses pemeriksaan, mereka telah melakukan banyak perkara yang melanggar etika seorang doktor dan sesama manusia. Malah salah seorang daripada mereka telah mencuri barang kepunyaan Mek Nak. 

Kesan daripada perkara itu, beberapa kejadian misteri mula berlaku selepas mereka terkena badi mayat Mek Nak.

Begitulah antara sebahagian jalan cerita filem seram terbaharu daripada Eyra Rahman, Badi.

Badi merupakan filem seram ketiga daripada Eyra selepas Pengantin Malam dan Gudang Kubur, 

Sudah menemui penonton sejak 15 Oktober lalu, filem terbitan Metrowealth Movie Production yang semestinya menonjolkan penceritaan yang lain dari lain khas untuk penonton.

Dijayakan oleh 90 peratus muka baharu seperti Azwan Kombos, Adibah Yunus, Hanif Safuan, Sharisa Haris dan Navilya Husna, filem ini juga turut dijayakan oleh pelakon lama, Rashidah Jaafar. 

Melihat kepada sentuhan Eyra kali ini, apa yang boleh penulis katakan, Eyra sekali lagi berjaya membawa sebuah cerita yang lain daripada lain.

Biarpun ada beberapa babak sering kita lihat di dalam mana-mana filem mahupun drama, namun ia tidak pun mencacatkan keseluruhan jalan cerita ini pada asasnya.

Bahkan dengan permainan pencahayaan dan kesan bunyi, ia sudah cukup membuatkan jantung berdebar-debar sepanjang hampir satu jam setengah menonton filem ini.

Bukan itu sahaja, lakonan Rashidah dan juga Adibah juga nampak menonjol di dalam filem ini dan secara tidak langsung banyak membantu mencantikkan lagi pergerakan cerita.

Sebaliknya beberapa pelakon baharu pula dilihat terlalu mencuba untuk menjadikan babak mereka terlalu seram dan elemen menjerit juga ada kalanya dilihat terlalu keterlaluan.

Namun kekurangan itu boleh dimaafkan apatah lagi mereka masih baharu di dalam industri perfileman.

Bagaimanapun secara keseluruhan lebih-lebih lagi pada jalan cerita, Badi adalah sebuah filem yang menarik untuk ditonton.



Seperkara lagi yang menarik mengenai filem ini adalah keputusan Eyra untuk menyelitkan mengenai tarian Mak Yong yang punyai misteri sendiri.

Anda bayangkan hanya dengan satu syot di mana Adibah menari tarian Mak Yong dengan diiringi lagu Mak Yong sudah cukup membuatkan bulu roma berdiri melihat satu persatu gerakan dan lemah gemalai badan serta jari jemari.

Entah mengapa penulis merasakan, elemen Mak Yong dan seram bagaikan satu gabungan dan tarikan yang tersendiri.

Justeru, bagi anda yang ingin merasai sendiri rasa seram dan jawapan penyelesaian kepada masalah badi yang menimpa empat pelajar tersebut, jangan lupa menyaksikan Badi di pawagam.

0 comments:

share2