Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 5, 2015

WANITA PANGGIL SUSPEK SEBAGAI `SAYANG'


Sabah diceroboh


Kota Kinabalu - Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu bahawa seorang wanita memanggil 'sayang' kepada seorang suspek dalam kes pencerobohan Lahad Datu dalam perbualan mereka, yang menunjukkan mereka mungkin suami isteri. 

Seorang pemproses komunikasi yang dipintas berkata wanita berkenaan dikenali sebagai 'Wanita Sabah', menelefon suspek, Datu Amir Bahar, dengan menggunakan nombor 011 19046155, yang dipintas polis.

"Wanita Sabah memangil Datu Amir Bahar sebagai 'sayang' dan saya percaya nombor yang dipanggilnya digunakan beberapa kali oleh Datu Amir Bahar, berdasarkan panggilan sebelumnya (yang dibuat suspek)," kata saksi terlindung itu, melalui jurubahasa mahkamah.

Saksi itu memberi keterangan dalam perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan sekumpulan lelaki Sulu bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Katanya wanita berkenaan dan suspek berbual dua kali dalam bahasa Suluk, yang dipintas pada 2 Mac 2013.

Saksi itu berkata dalam perbualan pertama pada 2.56 petang, 'Wanita Sabah' memberitahu Datu Amir Bahar supaya meneruskan perjalanannya dan dibalas suspek bahawa dia akan berbuat demikian pada tengah hari. 

Dalam perbualan kedua pada 3.37 petang pula, katanya, wanita itu memberitahu suspek bahawa polis tidak akan menggeledah rumahnya.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, saksi itu berkata Datu Amir Bahar dicam dalam perbualan itu berdasarkan intonasi dan gaya yang digunakannya ketika bercakap dalam bahasa Suluk.

"Dia juga memperkenalkan dirinya dalam perbualan telefon itu," kata saksi berkenaan.

Saksi itu berkata dalam perbualan terdahulu melibatkan Datu Amir Bahar yang dipintas pada 19 Februari 2013, suspek, yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Datu Bahang', menghubungi seorang lagi suspek dikenali sebagai Salib, untuk bertanya sama ada 'orang itu' boleh dipercayai.

Saksi itu percaya Datu Bahang dan Datu Amir Bahar mungkin orang yang sama berdasarkan intonasi dan gaya percakapannya. 

Saksi itu berkata ketika mendengar dan menterjemah perbualan berkenaan ke dalam bahasa Malaysia, beliau memastikan maknanya tidak berubah dan tiada maklumat penting yang tertinggal.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada 7 September.

0 comments:

share2