Kuala Nerus – Kerana berasa malu setelah video dia dipukul dan dipaksa mencium kaki tersebar di laman sosial minggu lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga nekad berhenti sekolah.
Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Mia itu memberitahu, dua kejadian pada 8 dan 9 September lalu, di kawasan sekitar Seberang Takir telah menyebabkan dirinya dipandang serong memandangkan video itu memaparkan wajahnya secara jelas, sekali gus mencalarkan maruah dia dan keluarga.
"Memang selama ini hubungan saya dan pelajar perempuan itu (pelajar yang memaksa cium kaki) tidak baik dan saya akui ada buat kesilapan terhadap dia. Tetapi saya telah minta maaf.
"Pada kejadian pertama (8 September) dia minta saya bertemunya kerana ingin selesaikan perkara ini dan saya pergi jumpa dia agar perkara ini selesai. Namun saya tidak menyangka sama sekali dia kemudiannya bertindak memukul dan cuba tanggalkan pakaian saya," katanya.
Mia mengakui masih trauma dengan kejadian itu dan memaklumkan, sehari selepas kejadian pertama, pelajar perempuan tersebut sekali lagi datang untuk berjumpa dengannya tetapi Mia cuba mengelak.
Bagaimanapun katanya, dia didesak untuk bertemu pelajar perempuan terbabit di restoran milik keluarganya di Pantai Teluk Ketapang dengan alasan menyesal dengan tindakan pada 8 September.
"Tanpa berfikir panjang saya pergi berseorangan ke restoran milik keluarganya itu. Ketika itu, saya dapati beberapa rakannya berada di situ dan ibunya juga ada bersama.
"Awalnya pertemuan berlangsung dengan baik sehinggalah ibu kepada pelajar tersebut memaksa saya mencium kaki anaknya sekiranya ingin memohon maaf," katanya.
Menurutnya, dia betul-betul tidak menyangka mereka tergamak memaksanya melakukan perbuatan sedemikian dan ketika itu dia tidak mempunyai pilihan kerana telah dikepung oleh rakan-rakan pelajar perempuan tersebut.
Anak bongsu daripada lima beradik yang baru kehilangan bapa pada Ogos lalu menceritakan, selepas berbuat demikian (mencium kaki secara paksa), dia terus pulang ke rumah dan keesokan harinya, dia mendapat tahu video kedua-dua kejadian itu tersebar di laman sosial.
Sehubungan itu, dia dan keluarga telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebarkan video berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian itu.
0 comments:
Post a Comment