Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 18, 2015

[LANCHANG] MAKANAN KELI DARI SAMPAH


Cipta makanan keli dari sampah


Lebih 170 kilogram sampah sisa sayur dan buah-buahan yang ditinggalkan peniaga pasar malam dan menjadi masalah sebelum ini akhirnya memberi manfaat kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Bahaman yang mencipta makanan bagi ternakan ikan keli organik.

Kejayaan enam pelajar dibimbing dua guru SMK Datuk Bahaman itu bukan sahaja dapat mengurangkan sisa buangan ke tapak pelupusan sampah tetapi juga menghasilkan ternakan ikan keli organik yang selamat dimakan serta mengurangkan kos khususnya kepada penternak ikan keli secara komersial.

Pengetua SMK Datuk Bahaman, Hussin Hamid berkata, kejayaan pelajar tersebut lahir melalui cetusan idea untuk mengurangkan sisa buangan pasar malam Lanchang yang beroperasi setiap Khamis di hadapan sekolah tersebut.

Menurutnya, pada tahun ini, SMK Datuk Bahaman terpilih sebagai sekolah yang mewakili negeri Pahang untuk menyertai cabaran Toyota Eco Youth (TEY) yang bertujuan memberi tumpuan kepada sisa pepejal, air bersih, pemanasan global dan kitar semula.

“Sebagai sebuah sekolah yang aktif khususnya dalam inovasi maka kami terpilih untuk mewakili negeri ke pertandingan ini di peringkat kebangsaan,” katanya semalam.

Hussin berkata, sayur yang dikutip dari peniaga pasar malam itu kemudian dibawa ke makmal khas di sekolah tersebut kemudian dicampur dengan Mikroorganisma Berfaedah (EM) dan melalui beberapa proses yang akhirnya menjadi sumber makanan kepada ternakan ikan keli.

Menurutnya, dibantu dua guru iaitu Guru Inovasi Daerah, Sanira Sabarudin dan Nor Azmi Mohd Amin serta enam pelajar yang akan menyertai cabaran TEY, mereka kemudian mula menggunakan sisa sayur dan buah pasar malam sebagai makanan kepada ternakan ikan keli.

“Sebagai permulaan, pihak sekolah memberi kebenaran kepada kumpulan pelajar dan guru ini untuk menggunakan kolam simen lama atau tangki tadahan air yang tidak lagi digunakan untuk dijadikan kolam ternakan.

“Apabila projek ini dimulakan, semua yang terlibat sangat terkejut kerana sisa sampah itu menjadi sumber makanan utama kepada ikan keli, malah campuran EM yang dihasilkan pelajar ini membuatkan kolam ternakan kurang berbau.

“Daripada 4,000 keli yang diternak hanya lima sahaja yang mati dan ini membuktikan ikan keli ini semakin kuat dengan penggunaan makanan dari sisa sayur serta EM,” katanya.

Hussin berkata, lebih mengejutkan kos makanan ikan keli bagi semua 4,000 ekor yang diternak itu biasanya menggunakan kos RM8 sehari bagi penternak biasa tetapi dengan penggunaan sisa sayur itu kos yang ditampung hanyalah 26 sen sehari.

Beliau berkata, hasil kejayaan ciptaan keli organik yang memakan sisa sayur itu akan dibawa ke pertandingan TEY di peringkat kebangsaan tidak lama lagi.

Hussin berkata, dengan menggunakan kaedah itu, ternakan ikan keli yang dipelihara pelajarnya hanya menggunakan lebih kurang 10 peratus makanan rumusan (pelet) dan selebihnya sisa sayur dan buah.

Menurutnya, kejayaan menghasilkan makanan dari sisa sayur dan buah-buahan pasar malam itu juga akan dikongsi bersama penduduk setempat selepas ini.

“Kami bersedia membantu penduduk berhampiran untuk bersama-sama mempelajari teknik makanan menggunakan sisa sayur dan buah ini untuk kemajuan mereka.

“Kami sangat berharap projek ini akan menjadi contoh kepada penternak di luar untuk menggunakan kaedah yang dihasilkan pelajar ini untuk kemajuan mereka.

“Ia juga sebagai bukti sumbangan pihak SMK Datuk Bahaman kepada komuniti setempat khususnya penternak ikan keli secara komersial,” katanya.

0 comments:

share2