
Kota Kinabalu - Pakatan NGO Pro BN kerap membuat laporan polis mengenai isu fitnah dan pembohongan yang dikaitkan dengan beberapa pemimpin kanan DAP Sabah kebelakangan ini kerana mempunyai asas kukuh berkaitan isu berkenaan, kata Presidennya, Zulkarnain Mahdar.
Beliau menegaskan laporan polis merupakan saluran undang-undang yang telah ditetapkan di negara ini bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan.
"(Pakatan) Pro BN membuat laporan polis kerana mempunyai asas bukti yang kukuh bahawa beberapa pemimpin DAP dan pemimpin pembangkang lainnya jelas berbohong dan memfitnah mengenai banyak perkara.
"Saya cabar mereka untuk saman saya jika saya berbohong dengan mengatakan bahawa seorang pemimpin DAP berbohong dengan mengatakan bahawa dia adalah seorang Bumiputera asal Sabah sehingga Sijil Anak Negerinya ditarik balik oleh kerajaan negeri Sabah," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha DAP Sabah, Dr Edwin Bosi dalam akhbar setempat pada Ahad lalu yang mengatakan bahawa Pakatan NG Pro BN adalah juara membuat laporan polis.
Zulkarnain turut meminta Edwin membuktikan bahawa beliau tidak bercakap benar apabila membuat laporan polis terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Likas Junz Wong kerana menipu rakyat apabila mengatakan seorang wanita telah dicederakan di kompleks beli-belah Suria Sabah yang akhirnya disahkan polis sebagai tidak benar.
"Sememangnya tindakan Pakatan NGO Pro BN tidak disenangi oleh Edwin kerana kami telah banyak mendedahkan pembohongan pembangkang terutama pemimpin DAP. Tindakan kami ini terlalu penting untuk memberi tahu rakyat bahawa pemimpin pembangkang hanya tahu becakap besar tetapi kosong dalam banyak perkara," katanya.
Zulkarnain berkata, Edwin mungkin inginkan Pakatan NGO Pro BN mengikut jejak langkah mereka bertindak berdasarkan 'rakyat hakim negara' seperti slogan pembangkang namun Pakatan NGO Pro BN tidak sebodoh itu sebaliknya akan bertindak
berdasarkan saluran undang-undang negara.
Katanya Edwin sepatutnya menjawab persoalan mengenai apakah tindakan Edwin dan DAP terhadap pemimpin kanan DAP Sabah dan Junz Wong apabila mereka berbohong terutama sekali melibatkan Sijil Anak Negeri, fitnah terhadap anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) serta isu wanita cedera dan bukan mengalihkan isu yang memperlihatkan sikap kurang matang Edwin dalam berpolitik.

0 comments:
Post a Comment