Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 15, 2015

'PANDANGAN SAYA TERUS GELAP'


'Pandangan saya terus gelap'


Dungun - “Pandangan saya terus gelap bila lihat kain putih menyelubungi mayat Najmi,” kata Norrodiah Hitam, 44, ibu kepada kanak-kanak berusia 12 tahun yang tenggelam dan dihanyutkan arus sungai dalam kejadian di Kampung Wa, di sini, Sabtu lalu.

Mayat Mohd Alif Najmi Kamaruzzaman ditemui terapung di Sungai Dungun berhampiran Kampung Padang Pulut oleh penduduk kampung kira-kira jam 8.30 pagi, semalam.

Norrodiah berkata, dia pengsan dan tidak sedarkan diri sebaik sahaja memandang kain putih yang menyelubungi tubuh anaknya ketika mayat mangsa dibawa naik ke tebing sungai.

“Saya terima panggilan daripada abang beritahu mayat Najmi dah ditemui dan saya reda. Saya ke tebing sungai untuk melihatnya, tapi tak mampu lihat arwah.

“Tiba-tiba saja pandangan saya gelap... sebaik buka mata, saya dah ada kat rumah adik dan masih terkejut dengan apa yang berlaku,” katanya yang turut memberitahu adiknya, Norsminar Hitam, 47, juga pengsan di tebing sungai itu.

Buat solat hajat

Kata Norrodiah, malam kelmarin, dia bersama penduduk kampung turut melakukan solat hajat di tepi sungai berhampiran lokasi anaknya dipercayai lemas.

“Selepas selesai solat hajat, saya terlelap seketika dan tiba-tiba terjaga. Ketika tu naluri keibuan kuat mengatakan anak saya akan ditemui pada hari ini (semalam).

“Firasat saya itu jadi kenyataan apabila terima panggilan mengatakan mayat Najmi dah ditemui.

“Alhamdulillah, walaupun tidak kuat untuk hadapinya tapi saya harus reda dengan ketentuan ini dan saya percaya arwah anak dapat bersemadi dengan tenang,” katanya sebak.

Tunai hasrat arwah ke Makkah

Norrodiah berkata, dia dan suami akan menunaikan hasrat terakhir Najmi untuk ke Makkah sekiranya berjaya mendapat keputusan 5A dalam UPSR.

“Saya pernah tanya Najmi sekiranya dapat 5A, apa yang dia mahu... dia jawab ingin menunaikan umrah.

“Walau apa keputusan UPSRnya kelak, kami akan tetap menunaikan hajatnya itu,” katanya.

Tambahnya, sebelum kejadian Allahyarham Najmi tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.

“Anak saya seorang yang periang dan ceria serta mudah bergaul dengan semua orang.

“Rakan sekolahnya ada beritahu pada hari terakhir persekolahan dia minta maaf dengan semua orang dan ramai rakan serta guru datang menziarahinya.

“Sanak-saudara dan jiran turut berkongsi kesedihan bersama saya kerana arwah mudah mesra dengan orang sekelilingnya,” katanya.

Norrodiah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama penduduk serta anggota bomba yang membantu dalam operasi mencari anaknya.

“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu terutama penduduk serta anggota bomba.

“Bukan penduduk di kampung ini saja, tapi penduduk dari kampung sekitar juga turut serta, malam mereka tidur dan berkampung di tepi sungai.

“Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Gagap, Kampung Wa iaitu di tempat kelahirannya walaupun kami menetap di Kemaman,” katanya.

Mayat ditemui terapung

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Imran Ismail berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh penduduk kampung di sungai berhampiran Kampung Padang Pulut iaitu kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

“Pagi tadi kita mulakan operasi seawal jam 7.20 pagi dengan dibantu Unit K9 yang membawa dua anjing pengesan.

“Difahamkan mayat ditemui terapung dihanyutkan arus kira-kira jam 8.30 pagi dan anggota kami dimaklumkan pada jam 9.13 minit,” katanya.

Beliau berkata, anggota terus bergegas ke lokasi untuk membawa mayat mangsa ke darat dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Dungun.

Seramai kira-kira 25 anggota bomba dari BBP AMBS, BBP Dungun, unit skuba BBP Kuala Berang dan Unit K9 bomba terlibat dalam operasi tersebut.

Operasi selama tiga hari itu turut dibantu anggota PDRM dan JPAM serta kira-kira 100 penduduk.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu, mangsa yang berasal dari Taman Geliga Indah, Kemaman dipercayai lemas selepas tenggelam dibawa arus ketika mandi bersama rakannya di sungai kampung itu.

Ketika kejadian, mangsa yang juga murid SK Seri Kemaman pulang bercuti di kampung neneknya.

0 comments:

share2