Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 20, 2015

‘OPERASI KALI INI PALING MENCABAR'


‘Operasi kali ini paling mencabar’


Gua Musang - Operasi mencari tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi, dekat sini, yang hilang hampir sebulan lalu dan belum dijumpai sampai sekarang, memberi banyak pengalaman baharu kepada anggota terbabit.

Gabungan anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan bersepakat memandu arah.

Mereka juga menyifatkan operasi mencari mangsa itu adalah masa yang paling lama berbanding beberapa kejadian sebelum ini, yang mengambil masa sekejap dan berjaya menemui mangsa.

Anggota polis dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang, Inspektor Md Haireen Md Busari ketika ditemui di tempat operasi berkata, beliau tidak menyangka ia mengambil masa panjang.

Beliau turut mengakui ia sejarah pertama operasi paling panjang di Pos Tohoi sejak bertugas di IPD Gua Musang tujuh tahun lalu, dan pernah mengikuti operasi mencari sebelum ini yang keadaannya tidak mencabar seperti kehilangan tujuh murid itu.

Katanya, faktor yang paling mencabar dalam gerakan mencari mangsa itu ialah, bentuk muka bumi yang tidak sama seperti yang pernah dialami sebelum ini kerana Pos Tohoi berbukit, gunung ganang, gaung dan sungai.

“Apapun kita tetap hadapi cabaran ini kerana matlamat kita supaya tujuh murid yang hilang ini dapat ditemui semula dengan selamat,” katanya.

Anggota JPAM Gua Musang, Ahmad Izanudin Ku Huzaizi, 34, pula berkata, operasi kali ini memberi cabaran hebat kepada semua tugas yang dilalui kerana bukan sahaja masa yang panjang tetapi setiap laluan perlu ketahanan mental dan fizikal.

Katanya, sebagai anggota penyelamat, mereka perlu sanggup menempuhi keadaan itu dengan menggunakan pengalaman lalu, yang pernah mengikuti beberapa kali dalam operasi mencari mangsa.

“Walaupun sebelum ini mangsa ditemui mati akibat lemas di sungai, tapi tak ambil masa terlalu panjang seperti gerakan mencari tujuh mangsa masih hilang ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Terengganu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Zamri Omar pula berkata, operasi kali ini sangat mencabar berikutan ketika ini cuaca hujan.

Katanya, keadaan melalui jalan balak yang becak dan mendaki bukit yang licin merupakan ujian kepada anggota mencari tetapi, mereka tetap berpuas hati dengan setiap tugas yang diamanahkan.

“Usaha kita bersama ini untuk mengalas tugas yang diamanahkan, oleh itu kita tidak ambil kira faktor cuaca sama ada hujan atau panas, asalkan operasi ini berjaya,” katanya.

0 comments:

share2