
Alor Setar - Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang berlakunya aktiviti dan penyebaran fahaman Syiah atau ajaran sesat lain perlu melaporkan kepada pihak berkuasa.
Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, perkara itu perlu bagi menjaga kesucian dan akidah umat Islam.
“Sesiapa sahaja kalau ada maklumat tentang perkara itu sila ke hadapan. Ini tugas wajib kita sebagai umat Islam untuk memelihara akidah Islam.
“Mungkin kerajaan negeri tidak ada maklumat tentang perkara itu kerana mereka akan sedaya upaya menyembunyikan kesalahan, tetapi maklumat yang diberikan boleh menyelamatkan orang yang tersesat,” katanya.
Menurutnya, maklumat peribadi pengadu juga akan dirahsiakan atas faktor keselamatan.
“Kita merayu kepada semua rakyat dalam apa juga peranan, sila ke hadapan. Maklum dan buat aduan kepada Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) atau pejabat agama daerah untuk diambil tindakan,” katanya.
Mengulas mengenai kes seorang lelaki menikahi gadis warga asing mengikut kaedah fahaman Syiah di sebuah rumah dekat Hutan Kampung, Alor Setar, Mohd Rawi mengesahkan bahawa belum menerima laporan mengenai kejadian itu.
“Saya belum dapat laporan tentang perkara itu, Mungkin saya akan buat laporan kepada Jaik terlebih dahulu supaya dibuat serbuan atau tindakan selanjutnya.
“Kita sudah menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan mereka yang didapati menyebar mahupun berdakwah ajaran selain Ahlul Sunnah Wal Jamaah boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
Pada Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan seorang usahawan muda tidak menyangka perkenalan singkatnya dengan seorang gadis di laman sosial Facebook membawa kepada perkahwinan Syiah.

0 comments:
Post a Comment