Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 11, 2015

JANGAN TERPEDAYA PAKEJ MURAH


Jangan terpedaya pakej murah


Hulu Dungun - Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan agensi umrah yang tawarkan pakej jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan harga semasa kerana ia hanya taktik penipuan untuk kaut keuntungan.

Difahamkan bagi perdaya mangsa, agensi tidak berdaftar berkenaan menggunakan golongan berpengaruh seperti guru agama dan madrasah untuk menarik pelanggan.

Berdasarkan statistik dicatat KPDNKK Terengganu, di bawah Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM), 2014 dan 2015 mencatat kes paling tinggi dalam tempoh lima tahun belakangan ini.

Timbalan Pengarah KPDNKK Terengganu, Md Nawawi Ab Rahman berkata, sebelum membuat pembayaran deposit, pengguna dinasihatkan merujuk kepada pihak kementerian atau Jakim terlebih dahulu bagi memastikan agensi berkaitan berdaftar atau sebaliknya.

“Perkara ini bukan masalah baru dan ia sering terjadi dalam kalangan masyarakat yang tertarik dengan pakej tajaan umrah murah ditawarkan.

“Ada yang hanya menawarkan bayaran sebanyak RM3,700 sahaja untuk ke tanah suci dan masyarakat mudah terpedaya tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu sama ada agensi berkenaan diiktiraf atau tidak," katanya.

Menurutnya, pada 2010 sebanyak 12 kes dilaporkan di bawah TTPM negeri, diikuti 32 kes pada 2011, 10 kes pada 2012 dan 22 kes bagi 2013.

“Manakala 2014 catat peningkatan sehingga 48 kes dan sehingga Ogos 2015 sebanyak 12 kes telah didaftarkan serta 40 kes dalam proses pemfailan.

"Semua kes yang difailkan di TTPM akan dibawa ke mahkamah tribunal dan setiap tuntutan akan melalui proses pendengaran di hadapan hakim," katanya.

Kata beliau, pengguna juga kena faham, TTPM adalah satu alternatif untuk membuat tuntutan terhadap pihak didakwa dan bukannya tempat untuk mendapatkan duit mereka semula secara terus.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika hadir merasmikan program KPDNKK Cakna Komuniti di Kampung Syukur, Dungun, di sini.

Hadir sama, Pegawai KPDNKK Dungun, Mohamad Hashim.

Dalam perkembangan lain, Md Nawawi berkata, menerusi program cakna komuniti yang dijalankan, KPDNKK dengan kerjasama agensi kerajaan termasuk pejabat penerangan daerah berperanan menjelaskan isu penggunaan terutama kepada penduduk di pedalaman.

“Banyak isu kepenggunaan yang tidak jelas dan peranan kita menyampaikannya sehingga ke peringkat akar umbi.

“Dalam menghadapi aduan rakyat, kita juga jadi pusat aduan bersepadu dan menerima apa juga aduan termasuk untuk agensi lain.. akan kita salurkan kepada yang berkaitan," katanya.

Katanya, KPDNKK juga proaktif dalam menangani isu global terutama kenaikan harga komoditi utama dan pelbagai lagi.

0 comments:

share2