Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 29, 2015

'ISTERI SAYA KINI 50/50'


'Isteri saya kini 50/50'


Tampin – Seorang pembantu hakim Mahkamah Rendah Syariah Tampin, di sini, cedera parah selepas kenderaan yang dipandunya terbabit kemalangan susulan mengelak lubang di atas jalan di kilometer 26, Jalan Tampin-Gemas, di Kampung Tengah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa, Mazlinda Murtadza, 25, dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah selepas mengalami kecederaan parah di tulang rusuk, pendarahan dalam paru-paru dan patah tulang paha.

Menurut suami mangsa, Mohd Fahmi Mahmod, 28, dia menerima panggilan pada jam 7.53 pagi semasa bekerja di dalam Kem Syed Sirajuddin Gemas dan segera ke lokasi kejadian bagi melihat keadaan isterinya.

“Sebaik tiba di lokasi, saya berasa sangat berdebar apabila melihat keadaan kereta dari jauh. Bagaimanapun, pada masa berkenaan isteri saya sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Gemencheh dan terus ke hospital di Kuala Pilah.

“Semasa di lokasi, saya mendapati terdapat lopak air dipercayai susulan paip pecah di atas kiri dan kanan jalan. Kini, isteri saya sedang menjalani pembedahan di hospital dan doktor menyatakan isteri saya kini berada dalam keadaan 50/50,” katanya.

Fahmi berkata, jika diikutkan sejak hampir dua tahun lalu, isterinya seperti biasa akan keluar dari rumah sewa mereka di Kampung Londah, Gemas sekitar jam 7.00 pagi untuk ke tempat kerja di Tampin.

Sementara itu, Jurucakap Polis berkata, kemalangan berkenaan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kereta jenis Produa Viva dari arah Gemas dan kereta Proton Waja serta Proton Iriz dari arah Tampin.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kereta jenis Produa Viva yang dipandu Mazlinda dari Gemas menuju ke Tampin cuba mengelak lopak air di bahagian kiri yang dipercayai terbentuk susulan paip pecah.

“Kereta Produa Viva berkenaan masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Proton Waja. Dalam masa yang sama, sebuah lagi kenderaan iaitu kereta Proton Iriz yang berada di belakang kereta Proton Waja gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kereta Proton Waja.

“Pemandu kereta Proton Waja wanita berusia 48tahun cedera patah tulang pinggul dan dikejarkan ke HTAN dan seterusnya dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.

Menurutnya, pemandu kereta Proton Iriz iaitu wanita berusia 28 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Untuk rekod, Sinar Harian pada 15 Julai 2013 melaporkan berhampiran lokasi kejadian terdapat kes kemalangan maut membabitkan seorang juru X-ray dari Segamat ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.00 pagi itu, kereta yang dipandu mangsa, Siti Mariam Zakaraia, 25, hilang kawalan selepas melanggar lubang di atas jalan yang sudah membentuk lopak air lalu terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh sebatang pokok.

Sumber

0 comments:

share2