Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, September 27, 2015

GESA WUJUDKAN DUNIA TANPA SENJATA NUKLEAR


Gesa wujudkan dunia tanpa senjata nuklear


Kuala Lumpur - Masyarakat antarabangsa harus seiring dalam menggesa kuasa-kuasa besar supaya mewujudkan keamanan dengan merealisasikan visi untuk mempunyai dunia tanpa senjata nuklear.

Semasa membuat saranan itu, Timbalan Presiden Soka Gakkai Malaysia (SGM) Prof Datuk Dr Christopher Boey Chiong-Meng berkata ancaman malapetaka nuklear terhadap manusia adalah lebih besar sekarang berikutan kemajuan teknologi nuklear selain kewujudan sejumlah besar senjata nuklear di dunia.

"Kita sebagai komuniti dunia perlu menegaskan semula komitmen ke arah menjadikan pelucutan senjata nuklear global sebagai satu keutamaan," katanya pada forum keamanan 'Everything You Treasure - For a World Free from Nuclear Weapons' anjuran SGM di sini, semalam.

Beliau dan Presiden Persatuan Universiti-universiti Antarabangsa (IAU), sebuah pertubuhan gabungan UNESCO yang berpusat di Paris, Prof Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak adalah anggota panel pada forum itu.

Sementara itu, Dzulkifli berkata bencana nuklear akibat ledakan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada 1945 harus menjadi iktibar kepada dunia.

"Sekarang, ia (nuklear) menimbulkan ancaman kepada seluruh dunia... kita tidak lagi boleh berfikir daripada sudut lokasi geografi apabila berlaku pencerobohan kerana perang boleh tercetus hari ini atau esok atau di mana sekali pun.

"Senjata nuklear akan meningkat dengan cara yang tidak dapat kita bayangkan, saya fikir adalah salah untuk berpendapat bahawa sesetengah negara kebal daripadanya.

Saya fikir kesedaran mengenai ancaman senjata nuklear sama ada ia milik kuasa nuklear atau tidak, perlulah menarik perhatian lebih ramai masyarakat. Ini adalah masalah dunia," katanya.

Forum keamanan itu ialah inisiatif bersama Soka Gakkai International (SGI) dan International Campaign to Abolish Nuclear Weapons (ICAN) dengan matlamat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang untuk menganggap penghapusan senjata nuklear sebagai kebimbangan peribadi mereka.

0 comments:

share2