Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, September 5, 2015

FAM: KIM SWEE DIPILIH GANTI DOLLAH


Ong Kim Swee


Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan jurulatih skuad B-23, Datuk Ong Kim Swee dilantik menjadi pengendali sementara skuad kebangsaan bagi menggantikan Dollah Salleh, yang letak jawatan semalam.

FAM dalam satu kenyataan menerusi Twitter rasminya berkata, “Rasmi: Datuk Ong Kim Swee dilantik pengendali sementara skuad kebangsaan selepas Dollah Salleh letak jawatan, semalam.”

Semalam, sebaik tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Dollah mengumumkan peletakkan jawatannya selaku Ketua Jurulatih skuad kebangsaan berikutan kekalahan memalukan pasukan negara pada perlawanan ketiga Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

Beliau membuat keputusan untuk melepaskan jawatan yang disandangnya itu sejak 28 Jun 2014, kerana berasa bertanggungjawab di atas kekalahan mengaibkan skuad negara tumpas 10-0 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Mohammed Bin Zayed, UAE, semalam.

Dollah berkata beliau sudah memaklumkan keputusannya itu kepada Setiausaha‎ Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin melalui perbualan telefon pagi tadi.

"(Keputusan meletak jawatan itu) muktamad. Saya sudah berbincang perkara ini‎ dengan Datuk Hamidin dan semuanya berjalan lancar," kata Dollah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Dollah mengakui beliau terkilan kerana menamatkan karier selaku pengendali skuad kebangsaan dengan keputusan perlawanan yang teruk.

Kekalahan 10-0 skuad negara itu adalah yang terbesar dalam mana-mana perlawanan antarabangsa.

Sambil itu, Dollah tidak menyangka UAE mampu melakar jaringan besar ke atas skuad Harimau Malaya pada perlawanan berkenaan walaupun pemain negara telah berusaha menyerap asakan bertali arus pasukan kendalian Mahdi Ali itu.

0 comments:

share2