Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, September 29, 2015

DUA LAPORAN POLIS DIBUAT BERHUBUNG BERITA PALSU MENGENAI RAJA MUDA SELANGOR




Shah Alam: Dua laporan polis berhubung berita palsu di media sosial yang mendakwa Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah murtad dan memeluk agama Katolik dibuat di Balai Polis Seksyen 6 di sini petang semalam. 

Laporan polis itu masing-masing dibuat Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dan Setiausaha Raja Muda Selangor, Hanafisah Jais pada 4.05 petang. 

Menurut laporan itu, kedua-dua pengadu berkata, mereka terbaca status seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama "Rahim Tambychik" mengenai dakwaan palsu itu ketika menggunakan laman sosial di Istana Mestika di Sekyen 7, Shah Alam, pada kira-kira 8 pagi, Jumaat lalu. 

Status itu seperti berikut: "Berita pertukaran agama oleh Putera Sultan Selangor, Tengku Amir Shah, ke Katholokisme amat menyedihkan umat Islam di seluruh negara dan dunia. 

Kesedihan ini ditambah dengan dua tragedi timpa umat Islam di Mekah dan Arafah. Moga hasrat Sultan Selangor bertemu Pope Vatican City akan berhasil." 

Kedua-dua pengadu menyifatkan petikan itu sebagai "tiada asasnya dan tidak benar serta boleh menimbulkan fitnah". 

Mereka memohon pihak polis dan jabatan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan segera ke atas penyebaran dakwaan palsu itu. Siasatan cawangan khas mendapati dakwaan itu berdasarkan sebuah artikel lama yang palsu diterbitkan dalam talian sebelum ini. 

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 25 Julai tahun lalu, memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin itu. 

Carian menerusi laman Facebook milik "Rahim Tambychik" juga mendapati ayat berbaur fitnah seperti dikatakan pengadu dipercayai telah dipadamkan. 

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana kesalahan jenayah fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

0 comments:

share2