
Alor Setar – Umno Kedah menegaskan bahawa tidak wujud insiden memboikot mesyuarat jawatankuasa Umno negeri oleh beberapa Ketua Umno Bahagian, kelmarin.
Setiausahanya, Datuk Othman Aziz berkata, dakwaan itu tidak benar malah mesyuarat tersebut berjalan dengan lancar di Kuala Lumpur.
“Mesyuarat Jawatankuasa Umno Kedah diadakan pada Selasa kira-kira jam 9 malam, tetapi kita panggil semua datang 30 minit lebih awal untuk menjamu selera dahulu.
“Biasalah awal-awal memang nampak tidak ramai yang hadir, bila dekat jam 9 malam baru ramai,” katanya.
Menurutnya, mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir diteruskan dengan pelbagai agenda parti.
“Semalam (kelmarin) seramai 16 daripada 24 jawatankuasa Umno Kedah sahaja yang hadir. Baki selebihnya tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Tidak timbul sama sekali isu boikot mahupun hilang kepercayaan kepada Mukhriz. Sebaliknya mereka sudah memaklumkan kepada saya sebab-sebab berkenaan,” katanya.
Othman berkata, beberapa menteri dan timbalan menteri juga tidak dapat hadir dalam mesyuarat tersebut kerana mempunyai urusan lain.
“Walaupun jumlah itu tidak semua hadir, tetapi ia memadai kerana cukup korum dan agenda mesyuarat diterima,” katanya.
Difahamkan, mesyuarat tersebut sepatutnya diadakan pada 4 September lalu dan terpaksa ditunda pada 8 September atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
Isu Ketua Umno Bahagian di Kedah memboikot mesyuarat jawatankuasa Umno negeri mula menjadi viral di laman sosial sejak semalam.
Laporan itu menyebut bahawa hanya lima daripada 15 Ketua Umno Bahagian hadir mesyuarat kerana hilang kepercayaan terhadap Mukhriz.
Antara yang dikatakan hadir hanyalah Mukhriz, Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Md Rozai Safian; Ketua Umno Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain; Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Datuk Said Ali Said Rastan dan Ketua Wanita Umno Kedah, Datuk Maznah Hamid.

0 comments:
Post a Comment