Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, September 21, 2015

[BENTONG] 20 PENUNTUT BERJAYA TAWAN GUNUNG TAHAN


20 penuntut berjaya tawan Gunung Tahan


Percubaan kedua mendaki Puncak Gunung Tahan setinggi 2,187 meter membuahkan kejayaan apabila 20 peserta dari Kolej Komuniti Pahang berjaya menawan gunung tersebut dalam masa dua hari.

Cabaran kali ini yang merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) bersama Kolej Komuniti Bentong diadakan sekali lagi setelah Cabaran Tahan tahun lalu tidak berjaya menawan puncak gunung tersebut berikutan masalah cuaca, sekali gus ekspedisi mendaki terpaksa dihentikan. 

Ketua ekspedisi terbabit, Mohd Lokman Mat Ripin berkata, keadaan berbeza pada tahun ini kerana disokong dengan keadaan cuaca yang elok membuatkan peserta bersemangat mendaki Gunung Tahan untuk sampai ke puncak.

“Ekspedisi ini bermula di Kuala Juram, Merapoh, pada 11 September dan berjaya berada di puncak pada 12 September. 

“Pada 13 September mereka bergerak kembali ke Kuala Juram dan sampai ke destinasi pada 14 September,” katanya.

Menurutnya, ekspedisi ini menguji ketahanan fizikal dan mental peserta dengan menggunakan moto ‘Come On Orang Muda’ untuk membakar semangat pendaki yang lain agar bertahan dan meneruskan pendakian berikutan bentuk muka bumi gunung tersebut yang sangat curam. 

“Selain itu, semua aktiviti masak dan pemasangan khemah dan solat berjemaah menyemai semangat bekerja berkumpulan dan membentuk sifat kepimpinan dalam diri peserta,” katanya.

Bercerita lanjut menurutnya, semasa perjalanan ke puncak ada antara peserta yang hampir berputus asa, seorang peserta mengalami kecederaan dan ada juga yang demam. 

“Namun, sokongan yang padu dari peserta yang lain dan semangat yang kuat mereka mampu meneruskan aktiviti pendakian. 

“Cabaran makin meningkat semasa dalam perjalanan kembali ke Kuala Juram, di mana ramai peserta yang cedera kerana aktiviti pendakian ekstrem,” katanya.

Menurutnya, meskipun berdepan dengan bentuk muka bumi yang berliku namun mereka amat terpukau dengan kecantikan flora dan fauna serta pemandangan di Taman Negara tersebut seperti air terjun yang indah di Lata Luis dan pokok-pokok bonsai di Kem Bonsai," katanya.

0 comments:

share2