
Kuala Terengganu - Keluarga kanak-kanak perempuan berusia empat tahun mangsa dera di Setiu mahu pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Ibu mangsa, Mimi Norma Shakira Roslan, 18, berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu.
“Saya tidak menyangka mereka tergamak memperlakukan anak sulung saya seperti itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, di mana anaknya itu dirawat.
Katanya, dia hanya mengetahui berita yang menimpa anaknya itu pagi semalam selepas bekas ibu mertua menghubunginya.
Menurutnya sebaik mendengar berita tersebut, dia bergegas ke HSNZ dan terkejut melihat keadaan anaknya dengan mata lebam, selain kesan calar pada badan.
“Selepas ini saya akan ambil dan bela sendiri anak saya, saya tidak rela orang lain menyakiti dia lagi,” katanya.
Mimi berkata, anaknya itu dijaga keluarga tiri sebelah bekas suaminya di Kampung Banggol Setiu sejak tujuh bulan lepas selepas dia bercerai dengan suaminya.
Keadaan mangsa kini dilaporkan stabil.
Dalam pada itu, di Setiu, nenek tiri kepada mangsa ditahan di sebuah rumah di Kampung Banggol, dekat bandar Permaisuri, di sini, kelmarin.
Suspek berusia 27 tahun diberkas bersama suaminya yang juga datuk mangsa berusia 51 tahun, kira-kira jam 2 petang.
Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Idris Mohamed berkata, wanita tersebut ditahan bersama suaminya untuk membantu siasatan berhubung kecederaan dialami kanak-kanak tersebut yang dipercayai didera.
Menurutnya, serbuan dilakukan pihaknya hasil intipan dan maklumat awam yang membawa penahanan dua suspek di rumah berkenaan selepas dikesan sejak Isnin lalu.
“Pasangan suami isteri yang merupakan peniaga pasar malam itu ditahan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya.
Idris berkata, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh daripada pelbagai aspek bagi mengenal pasti kejadian sebenar kes itu.
Akhbar kelmarin melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai menjadi mangsa dera nenek tirinya susulan terdapat beberapa kesan kecederaan pada badan dan muka mangsa, termasuk bengkak mata kiri.
Kejadian yang menimpa kanak-kanak malang itu disedari seorang pegawai perubatan berusia 29 tahun yang merawat mangsa di HSNZ, Kuala Terengganu kira-kira jam 2 pagi pada Isnin.

0 comments:
Post a Comment