
Aktor filem James Bond, Pierce Brosnan ditahan di sebuah lapangan terbang selepas didapati menyimpan sebuah pisau di dalam bagasinya, Ahad lepas.
Menurut Dailymail, Brosnan, 62, bersama anaknya Paris, 14, sedang cuba melepasi sebuah kawalan sekuriti di lapangan terbang Burlington ketika kejadian.
Aktor kacak berkenaan kemudian terpaksa menanggalkan tali pinggang dan dilihat diperiksa secara teliti oleh pegawai sekuriti lapangan terbang berkenaan.
Difahamkan, pisau jenis lipat tersebut berukuran 10 inci apabila diacu.
Brosnan juga dilihat sangat kecewa disebabkan kejadian tersebut.
"Saya tak percaya perkara ini terjadi," kata Brosnan kepada anaknya, menurut seorang saksi.
Brosnan diperiksa sebanyak dua kali dalam kejadian tersebut.
Undang-undang lapangan terbang tersebut melarang sebarang objek tajam atau peralatan sukan merbahaya seperti kayu besbol, anak panah dan busar untuk disimpan di dalam bagasi.
Menurut pegawai sekuriti, pisau adalah dilarang sama sekali dan jika tertangkap, mereka berhak merampas pisau berkenaan atau memulangkan objek tersebut, bergantung kepada alasan penumpang yang dikesan membawanya.
Undang-undang tersebut diperkenalkan selepas kejadian serangan pengganas ke atas menara berkembar World Trade Centre (WTC) di New York pada 11 September 2001.

0 comments:
Post a Comment