
Limbongan - Walaupun hilang penglihatan sejak dua tahun lalu, seorang warga emas tekad meneruskan kehidupan walaupun terpaksa tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Limbongan, di sini yang serba daif dan tidak terurus.
Ismail Dollah, 61, berkata, dia tidak mengetahui keadaan sebenar kesihatannya termasuk punca hilang penglihatan.
Ini kerana dia tidak pernah membuat pemeriksaan perubatan kerana mendakwa tiada siapa yang membantu untuk menghantarnya ke klinik.
“Selama lebih 20 tahun, saya habiskan seluruh masa saya jaga emak sakit dan kami tinggal di rumah yang usang tanpa bekalan elektrik dan air. Namun, atas keprihatinan JKKK telah mengusahakan saya sekeluarga rumah PPRT.
“Tapi, emak sudah meninggal dunia hampir 10 tahun lalu, tinggallah saya keseorangan,” katanya ketika menyambut kunjungan Setiausaha Akhbar Ketua Menteri, Cassie Lee yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, kelmarin.
Menurut Ismail, sebelum mengalami masalah penglihatan, dia mampu menguruskan diri sendiri termasuk melakukan kerja-kerja kampung.
“Kalau dahulu saya boleh membaca surat khabar, tetapi kini tidak lagi apabila mata sudah tidak nampak malah, untuk makan terpaksa mengharapkan belas ihsan daripada saudara.
“Tanah tapak rumah yang saya tinggal ini pun ditumpangkan saudara,” katanya yang tidak pernah merasai hidup berumah tangga.
Ismail juga merayu belas ihsan kerajaan negeri agar dapat memberikan perhatian terhadapnya, terutama keadaan penglihatan serta keadaan kediamannya yang serba daif.
“Saya merayu supaya kerajaan negeri dapat membantu merawat mata saya dan membaiki semua rumah saya yang banyak bocor dan tidak terurus. Selama ini saya menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 sebulan daripada Jabatan Kebajikan tetapi ia tidak mencukupi
dengan keadaan ekonomi sekarang ini.
“Saya juga mendapat bantuan makanan bulanan daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim),” katanya.
Sementara itu, Cassie berkata, pihaknya akan membawa laporan berkenaan kepada pejabat Ketua Menteri untuk diambil tindakan sewajarnya.

0 comments:
Post a Comment