Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, August 5, 2015

(MARAN) PERTANDINGAN SELFIE MERIAHKAN RAYA


Pertandingan selfie meriahkan raya


Pertandingan selfie mewarnai kemeriahan sambutan Aidilfitri Dun Kuala Sentul apabila menarik ratusan penyertaan gambar tetamu berselfie yang dimuat naik ke laman sosial Facebook (FB).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, kelainan yang ditunjukkan pada sambutan tahun ini bertujuan mengajak tetamu berkongsi kegembiraan bersama rakan dan keluarga masing-masing di samping menikmati pelbagai juadah.

Menurutnya, laman sosial kini menjadi pilihan utama orang ramai menceritakan kisah suka duka mereka sepanjang menyambut Aidilfitri.

“Secara tidak langsung mendidik orang ramai menggunakan laman sosial untuk perkara yang berfaedah dan menolak sebarang penyebaran maklumat mendatangkan kemudaratan kepada keharmonian negara.

“Majlis sambutan Aidilfitri memberi peluang untuk kita bertemu rakan lama dan mengeratkan hubungan tanpa mengira ideologi politik dan kaum.

“Percakapan di laman sosial tidak jauh beza dengan kehidupan sebenar cuma caranya tidak bersua muka, maka cakap yang baik-baik... cerita perkara bermanfaat... bertegur sapa dengan sopan dan saling hormat-menghormati,” katanya.

Shahaniza yang juga Adun Kuala Sentul berkata, pemilik akaun laman sosial terutama golongan muda diingatkan agar tidak menyalah guna kemudahan tersebut untuk perkara negatif termasuk menyebarkan fitnah terhadap individu tertentu.

Menurutnya, walaupun kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya menggunakan media sosial itu untuk meluahkan pandangan dan buah fikiran namun harus dilakukan dengan penuh tanggungjawab.

“Bila buka FB atau media sosial lain, kita bukan lagi sendirian kerana turut bawa nama baik keluarga, masyarakat dan maruah diri,” katanya.

0 comments:

share2