BENTONG - Felda Lurah Bilut sekali lagi dilanda ribut pada tahun ini di mana kali ini, tujuh rumah terjejas dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang kelmarin.
Kejadian ribut terbabit merupakan kejadian ketiga berlaku tahun ini selepas kejadian ribut yang melanda tanah rancangan terbabit April dan May lalu.
Kejadian ribut kali ini difahamkan lebih kurang sama dengan dengan kejadian ribut yang berlaku April lalu yang memusnahkan sekitar lapan buat rumah peneroka.
Turut terjejas dalam kejadian ribut kelmarin ialah rumah milik seorang ibu tunggal, Mar Boah Anuar, 54, sehingga mengakibatkan kerugian sekitar RM2,000.
Menurut Mar Boah, ketika kejadian dia tidak berada di rumah kerana pergi ke kedai untuk membeli barangan rumah.
“Ketika kejadian, hanya anak saya sahaja yang berada di rumah. Saya pula tidak dapat pulang ke rumah kerana hujan beserta angin ribut yang kuat melanda ketika itu,” katanya.
Tambahnya, menurut anaknya, Mohamad Amin Ismail, 16, ketika kejadian, angin terlalu kuat sehingga menggegarkan hampir keseluruhan rumah mereka.
“Anak saya beritahu kepada saya dia tidak tahu apa yang patut dilakukan ketika itu kerana berasa terlalu takut.
“Masa itu dia nampak angin menerbangkan beberapa keping atap di bahagian bilik dan dapur dan membasahi hampir kesemua ruang rumah kami,” katanya.
Sebaik ribut reda, dia kemudiannya pulang ke rumah dan terkejut melihat keadaan rumahnya yang terjejas teruk akibat ribut terbabit.
“Tiga tilam yang terdapat di bilik kami itu rosak kerana terkena hujan. Atap di bahagian dapur yang diterbangkan angin juga mengakibatkan beberapa kabinet dapur rosak kerana terkena hujan,” katanya.
Menurutnya lagi, kejadian terbabit turut mengakibatkan sebatang pokok duku di belakang rumahnya tumbang selain mengakibatkan rumahnya dan dua buah rumah jirannya terputus bekalan elektrik.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama pihak Felda serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), wakil Majlis Perbandaran Bentong dan Penghulu Mukim Bentong, Muhammad Azizi Khalid turut hadir melihat keadaan mangsa yang terjejas.
Difahamkan selain rumah Mar Boah, tiga buah rumah peneroka Cina, tiga buah rumah peneroka India turut terjejas dalam kejadian terbabit.
Wakil JKKK, Yip Seng Lam berkata, pihaknya telah membantu kesemua mangsa untuk membuat laporan polis selain akan berusaha membantu membaik pulih semula kesemua rumah yang terjejas.
0 comments:
Post a Comment