Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, August 13, 2015

LOKASI BAHARU INDUSTRI MINYAK, GAS


Lokasi baharu industri minyak, gas


Kuala Terengganu - Kerajaan Negeri Terengganu kini sedang mengkaji potensi Pulau Duyong dan kawasan sekitar Seberang Takir sebagai lokasi baharu bagi industri berkonsepkan minyak dan gas.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kajian mengenai potensi dua kawasan itu kini telah diserahkan kepada anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation (Epic).

“Kita melihat dua kawasan ini sebagai lokasi baru yang mempunyai potensi dalam industri ini. Tambahan pula, kita melihat ada keperluan bagi mewujudkan lokasi baru dalam industri berkonsepkan minyak dan gas.

“Di Pulau Duyung ketika ini sudah ada aktiviti pertukaran krew, jadi saya serahkan kepada Epic untuk mengkaji potensi kawasan itu dalam industri minyak dan gas,” katanya ketika ditemui media selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPK) dan Sukma Samudra Sdn Bhd (SSSB) dengan Kemaman Bitumen Company Sdn Bhd (KBC) di sini.

Turut hadir, Pengerusi Syarikat Kumpulan Epic, Datuk Tengku Muhamad Tengku Mahamut; Pengarah Urusan Kumpulan Epic Berhad, Noor Fadzil Mohamed Nor; Pengerusi KSB Sdn Bhd, Datuk Tengku Putera Tengku Awang serta Ketua Pegawai Operasi, Kumpulan Epic Berhad, Wan Shukri Mohamad.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berkata, penyedia perkhidmatan sokongan kepada industri minyak dan gas serta pelabuhan Kemaman, Epic Berhad memperuntukkan RM1 bilion bagi memperluas Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Menurutnya, ia akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun berakhir 2020 malah pihaknya merancang untuk membesarkan kawasan dermaga sehingga kira-kira satu kilometer, selaras dengan keperluan semasa, sekali gus meningkatkan perolehan syarikat.

Di samping itu, katanya, beberapa gudang tambahan akan turut dibina termasuk meningkatkan kemudahan darat lain seperti jentera.

“Industri ini sememangnya memberikan peluang lebih besar, jadi kita tidak teragak-agak buat pelaburan kepada KSB bagi memperluas dan meningkatkan kemudahan infrastruktur,” katanya.

Selain KSB, Epic juga memiliki lima lagi anak syarikat iaitu KPK, EPIC Mushtari Engineering Sdn. Bhd., Tubex Sdn. Bhd., Eastern Pacific Properties Sdn Bhd dan Sukma Samudra Sdn Bhd.

Menurut Ahmad Razif, ketika ini terdapat tiga dermaga sedia ada di KSB yang panjangnya satu kilometer.

0 comments:

share2