
Seorang kanak-kanak di sini terpaksa menjalani dua kali pembedahan bagi menampal kulit paha pada bahagian melecur di badannya selepas cedera dalam satu kejadian kebakaran dua bulan lalu.
Menceritakan kembali detik itu, ibunya, Habiza Baharin, 45, berkata, dalam kejadian yang berlaku di rumah ibunya di Bera itu, anak bongsu daripada enam adik-beradik itu, Nur Umairah Aqilah,6, melecur di bahagian belakang dan bawah lengan.
Menurutnya, pembedahan dilakukan bagi merawat luka pada bahagian badan yang melecur.
“Buat masa sekarang, dia masih memerlukan rawatan susulan iaitu dua kali sebulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan fisioterapi dan gerak kerja.
“Saya bersyukur kerana dia selamat. Buat masa ini, saya masih tidak benarkan dia ke sekolah kerana bimbang dengan keadaannya,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Adun Lepar, Datuk Sohaimi Jusoh ke rumahnya di Taman Mahkota Aman di sini, semalam.
Habiza berkata, dia yang tidak mempunyai pendapatan tetap kini buntu memikirkan keperluan enam anaknya yang masih bersekolah selepas berdepan dengan masalah rumah tangga.
Sementara itu, Sohaimi berkata, pihaknya simpati dengan keluarga berkenaan dan berharap bantuan sewajarnya dapat disalurkan kepada Habiza.
“Justeru, saya harap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dapat mempertimbangkan sebarang bantuan bulan untuk keluarga ini.
“Apa juga masalah yang dialami keluarga ini, mereka perlu dibantu untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Pada lawatan itu, Sohaimi menyampaikan bantuan barang keperluan harian.

0 comments:
Post a Comment