
Wan Adnan (tengah) bersama Ketua Wanita, Zaiton (kanan) dan Ketua Puteri, Roslina (tiga kanan)
meluangkan masa bermesra bersama sebahagian ali pergerakan yang hadir
"Beberapa negara lain turut menerima sumbangan wang daripada Arab Saudi selain daripada negara ini."
Itu didedahkan Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Seri Wan Adnan Wan Mamat berikutan isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurutnya penderma sebenar wang tersebut didedahkan dan dijelaskan kepada 146 Ketua Umno Bahagian ketika perjumpaan bersama perdana menteri pada Rabu lalu di mana wang tersebut adalah sumbangan politik dari Arab Saudi kepada negara ini.
“Ia sebagai penghargaan kepada Malaysia yang memperjuangkan agama Islam dan mengamalkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Bukan Malaysia sahaja yang menerima sumbangan atau derma daripada Arab Saudi, ada lagi dua tiga negara lain turut menerima sumbangan sama, termasuk masyarakat Islam di Filipina dan (Selatan) Thailand,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Serentak
Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kuantan di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Wanita Umno Bahagian, Datuk Zaiton Mat, Ketua Pemuda Umno bahagian, Nara@Nikman Nordin dan Ketua Puteri Umno Bahagian, Roslina Ibrahim yang turut disertai kira-kira 600 ahli dalam majlis tersebut.
Tambahnya, wang tersebut juga menghargai usaha kerajaan Malaysia yang begitu komited menyekat penyebaran fahaman kumpulan militan Negara Islam (IS).
Menurutnya, Najib yang juga Presiden Umno turut menjelaskan wang tersebut dimasukkan ke akaun peribadi beliau kerana ia adalah sumbangan Arab Saudi kepada Najib dan bukannya kepada parti.
Menurutnya lagi, penjelasan itu sudah membuatkan semua ketua bahagian berpuas hati dan mengharapkan perkara ini tidak lagi dipanjangkan bagi mengelakkan timbul kekeliruan berterusan di kalangan ahli parti dan rakyat.
“Buat masa ini, kita menghadapi cabaran sangat berat dan jika krisis kepercayaan berlarutan, ia pastinya menyukarkan jentera parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Selaku Ketua Umno Bahagian ini, saya akan membentangkan usul menyokong penuh kepimpinan perdana menteri dan pemimpin Umno yang lain pada Persidangan Perwakilan Umno Bahagian minggu depan yang akan dirasmikan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein,” katanya.

0 comments:
Post a Comment