
Alor Setar - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap penjualan rokok elektronik (e-rokok), kata Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Bagaimanapun tindakan boleh diambil sekiranya terdapat aduan berkaitan penyalahhgunaan jenama terhadap bahan perisa yang dijual.
"Dari segi penjualan kita tidak mempunyai kuasa. Isu ini lebih tertumpu kepada Kementerian Kesihatan untuk melihat kesan penggunaan e-rokok terhadap pengguna," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Aidilfitri anjuran Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) di sini, hari ini.
Selain itu katanya, pihak polis pula sedang menyiasat dakwaan penggunaan e-rokok berperisa ganja.
Terdapat juga aduan mengatakan bahan perisa yang dibenarkan seperti oren dan tembikai telah disalahguna apabila ada pihak yang mencampur bahan larangan.
Katanya, agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu melihat dari semua sudut dan berbincang bagi mendapatkan keputusan bersama demi kebaikan semua pihak.
Baru-baru ini sebuah akhbar tempatan melaporkan wujudnya bancuhan perisa e-rokok yang mengandungi ekstrak ganja dan ketum sebagai bahan utama.

0 comments:
Post a Comment