Persoalan sama ada Hang Tuah itu benar-benar wujud atau hanya sekadar kisah mitos Melayu sering bermain di fikiran tatkala nama hulubalang Melayu itu disebut.
Tidak dapat dinafikan walaupun Hang Tuah banyak dikisahkan terutama dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu karya Tun Sri Lanang, namun masih ramai menganggap Hang Tuah tidak lebih daripada hanya mitos atau lagenda rakyat.
Malahan, sifat yang dianggap ‘super human’ dipaparkan dalam hikayat lama ini sering digunakan sebagai asas untuk menyanggah kewujudan hulubalang ini.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (Iksep) Melaka, Prof (Adj) Datuk Dr Mohd. Jamil Mukmin, Hang Tuah sememangnya wujud malah turut menjadi lambang kegagahan masyarakat Melayu Melaka.
Warisan paling berharga
Menurut Mohd Jamil, sama ada dalam bentuk hikayat, manuskrip ataupun catatan sejarah, kisah perjalanan hidup Laksamana Hang Tuah merupakan satu warisan paling berharga untuk generasi hari ini dan akan datang.
Malah, menurut beliau, warisan itu turut diiktiraf dunia menerusi Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Kata Mohd Jamil, mana-mana pihak yang meragui kewujudan Hang Tuah perlu menerima hakikat sejarah bahawa Hang Tuah pernah berpijak di bumi, tanah dan menjadi rakyat Melaka ratusan tahun dahulu.
Malahan, kata beliau, sambutan diberikan cendekiawan, pakar sejarah serta guru dan pensyarah institut pengajian tinggi (IPT) seluruh negara semasa penganjuran ‘Seminar Hang Tuah Wira Alam Melayu’ oleh Iksep pada 2006, membuktikan bahawa Hang Tuah adalah satu topik yang sentiasa dapat menarik perhatian ramai.
"Ketokohan Hang Tuah sebagai pahlawan, sikap serta auranya merupakan sejarah yang banyak ditulis dan difilemkan. Iksep sendiri banyak mengeluarkan buku dan hikayat sejarah mengenai Hang Tuah yang terus menjadi rujukan sehingga ke hari ini," katanya semasa satu sidang media khas mengenai Sejarah Hang Tuah, di sini kelmarin.
Bukti kewujudan Hang Tuah
Kata Mohd Jamil, beliau mengalu-alukan kenyataan sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) di dalam sebuah akhbar tempatan beberapa hari lalu yang mendakwa menemui tiga sumber utama membuktikan kewujudan Hang Tuah.
Mengikut laporan berkenaan, Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi UPM, Prof Emeritus Dr Hashim Musa berkata, tiga sumber berkenaan termasuk satu dokumen dan artifak yang diterima dari kerajaan ‘Ryukyu, Rekidai Hoan’ serta satu dokumen dari Portugal.
Menurut Mohd Jamil, Iksep amat mengalu-alukan kenyataan itu serta menyifatkannya sebagai padat serta menyokong fakta sejarah.
"Hari ini, ramai yang sudah melupakan sejarah dengan membuat keputusan tidak mempercayai lagenda Hang Tuah. Kisah Hang Tuah adalah cukup menarik dan bukan seperti kebanyakan mitos yang berlegar hari ini.
"Yang pastinya, Hang Tuah berketurunan Melayu serta berasal dari Bentan di Kepulauan Riau dan bukan berketurunan Cina seperti dakwaan sesetengah pihak,” katanya.
Fakta sejarah ditokok tambah
Tambah Mohd Jamil, tindakan sesetengah pihak, termasuk penggiat industri perfileman, yang memutar belit fakta sebenar Hang Tuah dan menokok tambah serta mereka cerita palsu semata-mata untuk melariskan filem dilihat antara punca yang memburukkan lagi keadaan.
Tindakan mereka itu membuatkan sejarah Hang Tuah dilihat tidak lebih dari hanya cerita mitos dan dongeng.
"Ada filem menunjukkan kononnya Hang Tuah bertemu dengan Puteri Jawa (Puteri Gunung Ledang) sedangkan sebenarnya Tun Mamat yang naik ke puncak gunung untuk tujuan peminangan puteri,” katanya.
Bukan setakat itu, katanya, Keris Taming Sari yang sering dikaitkan dengan sifat kepahlawanan Hang Tuah juga dikatakan masih wujud dan tidak hilang seperti didakwa banyak pihak.
0 comments:
Post a Comment