
Rembau – Empat duda berputih mata untuk meraih hasil jualan dadah jenis heroin seberat 30 gram dan syabu seberat 0.5 gram bernilai RM1,150 apabila rumah kampung yang baru pertama kali dijadikan port jualan diserbu polis di Kampung Kayu Ara, di sini, semalam.
Kira-kira jam 8.20 pagi itu, sepasukan anggota dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau diketuai Inspektor Mohd Farizul Mad Kassim menyerbu masuk ke dalam rumah yang kebetulan tidak berkunci.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, ketika serbuan dibuat, kesemua suspek berusia lingkungan 32 hingga 39 tahun sedang tidur lena di ruang tamu.
“Hasil serbuan, polis berjaya menemui 14 bungkusan dadah iaitu 13 bungkusan plastik kecil lut sinar dadah jenis heroin dan sebungkus dadah jenis syabu di dalam beg sandang warna oren di atas meja di ruang tamu berkenaan.
“Turut ditemui di dalam beg berkenaan ialah alat penimbang elektronik yang dipercayai digunakan untuk menimbang dadah untuk diletakkan dalam plastik lut sinar. Kediaman berkenaan merupakan milik suspek berusia 38 tahun,” katanya ketika sidang media di Bilik Gerakan IPD Rembau, di sini, semalam.
Ibrahim berkata, hasil soal siasat mendapati salah seorang suspek yang berasal dari Palong, Jempol mengakui telah mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda di Felda Jelai 2 pada 8 Ogos lalu.
Menurutnya, kesemua suspek kecuali tuan rumah mempunyai rekod kesalahan lampau di mana suspek utama berusia 32 tahun dari Palong mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 6(2) Akta Penagih Dadah dan Seksyen 31 (1) akta yang sama.
“Seorang lagi suspek berusia 32 tahun juga dari Palong mempunyai tiga rekod kesalahan lampau iaitu Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6 Akta Penagih Dadah dan Seksyen 31 (1) akta yang sama.
“Manakala, suspek berusia 39 tahun yang menetap di Pedas pula mempunyai empat rekod kesalahan lampau termasuk jenayah. Tiga kes di daerah Rembau iaitu di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, dua kes di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan dan satu kes di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ibrahim berkata, saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah. Kesemua suspek bakal di tahan reman bermula esok (hari ini) sehingga 31 Ogos ini.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB 1952) yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori jika sabit kesalahan.

0 comments:
Post a Comment