Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, July 19, 2015

'‎SAYA SEOLAH-OLAH JADI SUARA KEPADA MAYAT'


'Saya seolah-olah jadi suara kepada mayat'‎


"Kita cuba keluarkan cerita daripada jasad... Seolah-olah saya jadi suara atau penterjemah kepada mayat," demikian tutur Pegawai Perubatan Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ashraf Ibrahim, 30, ketika diaju mengenai bidang kerjayanya di unit berkenaan.

Katanya, sebagai seorang doktor, dia mencari punca sebenar kematian si mati.

"Kerjanya ini memang mencabar, tetapi dek kerana keazaman saya tekadkan semangat juang... Ketika saya menghadap mayat saya 'memberitahunya' bahawa saya hanya ingin mencari punca kematian dan tidak lebih daripada itu.

"Kerana dia (mayat) sudah tidak mampu berkata-kata... jadi kita lakukan 'post mortem' kepada jasad itu...sebab hendak bantu dia..

"Di situ saya dapatkan semangat saya," katanya kepada Sinar Online, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Ashraf berkata, antara kes terbesar pernah beliau kendalikan adalah kes penemuan mayat pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis.

"Kes ini paling mencabar sebab hampir semua mayat hanya tinggal tulang... Proses itu dilakukan di Hospital Alor Setar, Kedah tetapi kami dapat bantuan daripada pihak-pihak hospital lain yang mengambil masa hampir seminggu dan ada lebih 100 mayat.

"Tetapi alhamdulillah kes itu berjaya kami selesaikan berkat kerjasama semua pihak," katanya.

Sementara ketika diaju mengenai stigma masyarakat mengenai 'badi mayat' Dr Ashraf berkata itu berkait dengan psikologi seseorang.

"Memang orang ramai selalu tanya dekat saya tidak takut dengan 'badi mayat' ke? Saya cakap setakat ini alhamdulillah saya tidak ada apa-apa masalah.

"Saya rasa benda ini berkait dengan psikologi, sebab terlalu takut jadi dia tertekan. Itu masalahnya, perkara ini memang lumrah sebab keluarga saya pun waktu saya mula-mula kerja dahulu kalau saya pulang lewat, mereka akan tanya 'sudah mandi ke belum'.

"Pernah keluarga saya kumpul ramai-ramai buat makan-makan, saya kerja waktu itu, sampai sahaja di rumah dalam jam 10 malam soalan pertama mereka tanya adalah adakah saya sudah bersih diri. Tetapi lama-lama keluarga saya dah tak macam itu, mereka sudah faham tugas saya selepas saya terangkan semuanya," ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Dr Ashaf yang sudah dua tahun berkhidmat di HKL berkata, sepanjang di hospital itu, dia tidak pernah 'diganggu' walaupun orang luar sering beranggapan bahawa bilik mayat adalah kawasan berhantu.

"Sepanjang saya bertugas...Alhamdulillah saya tidak pernah diusik, walaupun saya bekerja sorang-sorang dibilik mayat ketika waktu malam.

"Yang penting kita yakin dengan ALLAH, memang ada 'makhluk' itu tetapi saya rasa kalau kita tidak kacau dia...dia tak akan kacau kita," katanya.

Dr Ashraf menerima secara purata 20-25 mayat sehari. Ketika ‘post mortem’ mayat dilakukan sekurang-kurangnya dia dibantu oleh tiga orang petugas HKL yang lain.

0 comments:

share2