Bukan sedikit cercaan yang saya terima, pelbagai hinaan hinggap di telinga, namun saya telan segala cercaan itu. Ya itulah nasib seorang lelaki gemuk seperti saya sebelum ini,” demikian luah isi hati, Zaidi Yusof, 27, kepada Sinar Online baru-baru ini.
Zaidi berkata namun, cercaan itu hilang sekelip mata setelah dia kembali kurus hasil daripada inisiatif sendiri setelah dia sakit dada dan terpaksa menjalani rawatan elektrokardiogram (ECG) sebanyak dua kali.
"Awak ini dah obes, awak muda lagi, tetapi seperti orang berusia 55 tahun. Awak ada risiko tinggi untuk penyakit tiga serangkai, itu nasihat berulang-ulang dibuat doktor setiap kali saya ke klinik. Tetapi nasihat itu sekadar masuk telinga kanan keluar telinga kiri bagi orang gemuk macam saya,” katanya.
Zaidi berkata, kegemukannya bermula apabila dia mengalami ketagihan untuk makan ketika berada di tahun dua di sebuah universiti tempatan.
“…tinggal di kampus, tidur lewat malam, pengambilan makanan pula banyak dan jadual makanan tidak menentu. Selagi mata tak pejam, apa sahaja yang boleh dimakan saya hadap saja. Kawan-kawan perli "Zaidi makan semua benda, tolak kayu dan batu saja,” ujarnya.
Katanya, gelaran badak, dugong dan gajah itulah yang diberi kepadanya oleh kawan-kawan.
“Berat saya pernah capai lebih 100 kilogram. Nak mencari seluar dan baju bersaiz XXXXL itu bukan perkara yang mudah. Apabila kawan-kawan beri gelaran begitu, 'tipulah kalau saya tak terasa".
“…kesedaran untuk kurus dan turunkan berat badan timbul apabila saya alami sakit dada. Saya jalani rawatan ECG dua kali. Alhamdulilah doktor sahkan saya tiada masalah jantung, cuma doktor memaklumkan saya punyai potensi besar untuk diserang jantung. Syukur, ketakutan telah menimbulkan semangat untuk kurus dan menjaga pengambilan makanan,” katanya lagi.
Bercerita lanjut, Zaidi berkata rahsia dia menjadi kurus bukanlah disandarkan kepada produk kesihatan sebaliknya hasil disiplin diri untuk menjadi kurus.
“Saya tidak mengambil apa-apa pil atau produk kuruskan badan. Walaupun rakan-rakan menawarkan pelbagai jenis produk, kata mereka itu produk untuk kurus cepat dalam masa singkat.
“Kadang-kadang yang jual produk itu belum tentu pernah jadi gemuk. Saya lebih selesa mengambil pendekatan kendiri. saya bersenam enam kali seminggu, saya mula biasakan diri berjalan kaki di tempat yang dekat, ke dewan kuliah,surau dan lain-lain.
“Saya turut kurangkan pengambilan nasi di mana pada mulanya memang berat. Termenung saya apabila lihat nasi dan lauk pauk enak. Apakan daya, selepas tiga bulan saya boleh sesuaikan diri tanpa nasi.
“Saya mula amalkan minum sup sayur terutama air rebusan brokoli. Hasilnya, berat saya turun lebih 45 kg dalam masa 6 bulan. Kini saya hanya ambil nasi sekali sehari, cuma kalau ada majlis memang tak boleh nak elak. Selalunya saya berhati-hati dalam mengambil makanan berminyak dan berlemak,” katanya ketika bercerita mengenai bagaimana dia berjaya menurunkan berat badan.
Katanya, selain itu, dia juga sudah hampir tiga tahun tidak mengambil minuman berais.
“… minuman sejuk ok, tetapi tidak boleh terlalu sejuk. saya banyakkan meminum air suam, sebelum tidur saya banyakkan minum air suam supaya kerap ke tandas.
Mengakhiri kata-katanya Zaidi berkata apa-apa pun segalanya bermula daripada diri itu sendiri.
“Pada saya penjagaan berat badan, penampilan adalah penting buat seseorang. Apa-apa pun semua perubahan bermula daripada diri kita sendiri,” katanya.
Zaidi yang kini telah mendapat berat badan ideal, juga merupakan seorang pakar motivasi dan kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di sebuah universiti tempatan.
0 comments:
Post a Comment