Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, July 2, 2015

ROMPIN: 'NASIB BAIK EMAK SEMPAT BERLINDUNG'


'Nasib baik emak sempat berlindung'


“Sebelum ini sudah dua kali rumah emak saya rosak dipukul ribut. Jadi, petang semalam (kelmarin) bila saya nampak macam nak hujan, cepat-cepat panggil emak masuk ke rumah saya sebelum hujan turun.”

Demikian reaksi seorang penduduk Kampung Setajam, Sahabuddin Zain, 42, yang tidak menyangka ribut yang melanda kampungnya sekitar jam 3.30 petang kelmarin itu merosakkan rumah emaknya, Azizah Ismail, 71, buat kali ketiga sejak 2009.

Menurutnya, disebabkan emaknya itu kerap tinggal sendirian maka setiap kali melihat awan mendung dia akan meminta emaknya segera ke rumahnya untuk berlindung kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.

“Tak lama selepas emak saya masuk ke rumah saya, hujan mula turun dan angin semakin lama semakin kuat. Tiba-tiba kami dengar bunyi yang kuat, rupanya hampir keseluruhan bumbung rumah emak sudah tercabut dan terbang ke atas bumbung rumah saya.

“Nasib baik bumbung rumah saya tak rosak dan kami sekeluarga semua selamat. Kawasan ini agak terdedah kepada angin sebab terletak di kawasan bendang dan mungkin sebab itu mudah terjadi ribut apabila hujan,” katanya.

Sahabuddin berkata, dia sentiasa bimbang akan keselamatan emaknya kerana adik lelakinya yang tinggal bersama bekerja sebagai nelayan dan kerap ke laut.

“Saya memang lega sebab tiada yang cedera walaupun kami sekeluarga menghadapi situasi cemas tapi yang agak merunsingkan fikiran saya kini ialah sempat atau tidak bumbung rumah emak dibaiki sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Saya harap emak dapat beraya di rumahnya dalam keadaan selesa tambahan pula anak-anak, cucu-cucu, saudara akan berkunjung ke rumah. Kalau tak sempat baiki tentu hari raya kali ini tidak segembira sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Rompin, Fareza Othman yang dihubungi mengesahkan menerima laporan tentang kejadian tersebut dan telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan.

“Pihak JKM telah ke rumah mangsa membuat siasatan pada pagi tadi (semalam) selepas menerima aduan daripada Ketua Kampung Setajam manakala sebarang bentuk bantuan akan diberikan selepas proses selanjutnya selesai,” katanya.

0 comments:

share2